aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuktikan dirinya semakin hampir kembali ke prestasi terbaik apabila merampas semula gelaran keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, hari ini.
Mewakili Johor, Shah Firdaus menewaskan juara keirin Piala Dunia UCI, Datuk Azizulhasni Awang yang mewakili Team Azizul dalam perlumbaan dramatik itu, manakala Fadhil Zonis dari Selangor menamatkan saingan di tempat ketiga.
Perlumbaan akhir berlangsung dalam tempo tinggi tanpa ruang untuk permainan taktikal apabila pelumba Terengganu, Harrif Saleh, yang lebih dikenali dalam acara berbasikal jalan raya, melakukan serangan awal sehingga memaksa kelompok pelumba mengejarnya.
Namun, Shah Firdaus yang terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan lutut pada penghujung tahun lalu berjaya menggunakan kelebihan posisi dan kekuatan kayuhan untuk muncul juara.
Shah Firdaus mengakui tidak menjangka mampu berdiri di podium tertinggi memandangkan masih dalam proses mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.
“Sebenarnya saya juga merancang untuk melakukan pecutan jauh dalam perlumbaan akhir, tetapi kebetulan Harrif bergerak lebih awal.
“Saya terus memberikan segala-galanya apabila loceng dibunyikan dan hanya berdoa supaya menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat. Saya tahu ada pelumba sedang mengejar dari belakang, jadi saya perlu mencipta jurang.
“Alhamdulillah saya berjaya merampas semula gelaran ini. Kali terakhir saya memenanginya adalah pada 2022.
“Sejujurnya saya tidak menjangka dapat menang kerana semua tahu keadaan saya. Saya masih belum berada pada tahap 100 peratus,” katanya.
Menurut Shah Firdaus, proses pemulihan selepas pembedahan menyebabkan dia kehilangan banyak jisim otot pada kaki kanan dan kini masih berusaha membinanya semula.
Dalam saingan keirin wanita, tiada kejutan berlaku apabila pelumba Kedah, Nurul Izzah Izzati Asri berjaya mempertahankan gelarannya.
Pencabar utama, Nur Alyssa Farid dari Johor, meraih perak manakala Anis Amira Rosidi dari Team Cahaya Mata membawa pulang gangsa.
“Saya tahu perlumbaan akhir akan menjadi sukar kerana Alyssa sangat kuat. Kami berlatih bersama dalam skuad kebangsaan dan saling mengenali kekuatan masing-masing.
“Alhamdulillah saya berpuas hati dengan prestasi hari ini dan bersyukur dapat mempertahankan pingat emas,” kata Izzah.
Pingat kemenangan disampaikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut menyaksikan kedua-dua perlumbaan akhir keirin itu.
Terdahulu, dalam acara endurance, pelumba Perak, Yusri Shaari memenangi emas acara perlumbaan elimination lelaki mengatasi Lau New Joe dari Kuala Lumpur dan Izzat Hilmi Abdul Halil dari Johor.
Bagi acara perlumbaan mata wanita, Nur Aisyah Zubir dari Terengganu muncul juara selepas mengumpul 82 mata.
Pelumba Selangor, Yeong Zhen Yi meraih perak dengan 66 mata, manakala Khairunnisa Aleeya Saifulnizam dari Johor membawa pulang gangsa dengan 56 mata.
Esok, Azizulhasni, Shah, Izzah dan Alyssa akan kembali beraksi dalam acara pecut individu lelaki dan wanita.
© New Straits Times Press (M) Bhd






