‘Isu Rohingya perlu penyelesaian menyeluruh’ 

‘Isu Rohingya perlu penyelesaian menyeluruh’ 


KUALA LUMPUR: Kewujudan penempatan haram yang melibatkan etnik Rohingya memerlukan penyelesaian yang terancang dan menyeluruh kerana masalah itu dilihat telah menjadi ‘barah’ yang semakin sukar dibendung.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, isu tersebut bukan sesuatu perkara baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama. 

Menurutnya, berdasarkan statistik setakat April lalu, terdapat seramai 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, 197,591 adalah warga Myanmar dan 128,200 daripadanya merupakan etnik Rohingya,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Lawatan Sempena Hari Polis do Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, usaha menangani isu Rohingya tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Imigresen Malaysia.

Katanya, kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) melibatkan beberapa lapisan penguatkuasaan bermula di perairan sehingga mereka mendarat di negara ini.

“Polis adalah penerima terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan ambil tindakan jika mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.

“Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” katanya.

Ayob Khan berkata, operasi membanteras penempatan PATI termasuk etnik Rohingya, dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa. 

“Sebagai contoh, operasi di kawasan Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat sudah dilaksanakan dan seramai 42 individu ditahan. 

“Ketua Polis Daerah Kajang juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada 9 Jun lalu,” katanya.

Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, beliau berkata, terdapat pelbagai perkara perlu diteliti secara mendalam.

“Kalau diwujudkan pusat seperti itu, siapa yang akan menguruskan? Siapa yang akan membiayainya? Selepas disaring, mereka hendak ditempatkan di mana?

“Adakah negara ketiga sanggup menerima mereka? Ini antara persoalan utama yang perlu dijawab sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, kewujudan pusat transit khas berpotensi menjadi faktor penarik atau pull factor yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan manusia untuk membawa lebih ramai migran ke rantau ini. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top