Ochoa akan menjadi pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia jika diturunkan dalam perlawanan menentang Afrika Selatan awal pagi Jumaat. Foto Agensi
KETIKA seluruh dunia menumpukan perhatian ke Stadium Azteca bagi aksi pembukaan Piala Dunia 2026 awal pagi Jumaat (3 pagi waktu Malaysia), tumpuan turut terarah kepada penjaga gol veteran Mexico, Guillermo Ochoa yang berpeluang mencipta sejarah tersendiri.
Sekiranya diturunkan menentang Afrika Selatan dalam perlawanan pertama Kumpulan A, Ochoa akan menjadi pemain pertama beraksi dalam enam edisi Piala Dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara ikon terbesar dalam sejarah bola sepak Mexico.
Pada usia 40 tahun, Ochoa dijangka mengetuai cabaran tuan rumah yang memburu permulaan sempurna di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, dalam suasana penuh gemuruh di stadium yang pernah menjadi saksi pelbagai detik bersejarah kejohanan itu.
Mexico turut diperkuatkan kapten, Edson Alvarez yang bakal mencatat penampilan antarabangsa ke-99, manakala penyerang berpengalaman Raul Jimenez berpeluang memahat namanya sebagai penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman negara itu jika berjaya meledak jaringan.
Namun, Afrika Selatan pastinya tidak berhasrat menjadi pelengkap majlis pembukaan.
Skuad Bafana Bafana kendalian Hugo Broos hadir dengan misi mencipta kejutan dan merosakkan pesta tuan rumah, sekali gus mengulangi semangat juang yang membawa mereka ke pentas terbesar dunia.
Berita positif buat Afrika Selatan apabila pertahanan kiri, Aubrey Modiba kembali bersaing untuk berada dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan hamstring dan melengkapkan sesi latihan penuh minggu ini.
Pada masa sama, ancaman terbesar mereka dijangka hadir menerusi pemain sayap lincah, Oswin Appollis yang muncul antara tonggak utama sepanjang kempen kelayakan dengan penglibatan langsung dalam enam gol hasil dua jaringan dan empat bantuan gol.
Dengan sejarah, rekod dan maruah negara menjadi pertaruhan, aksi pembukaan di Azteca dijangka menawarkan permulaan menarik kepada edisi terbesar Piala Dunia yang menghimpunkan 48 pasukan buat kali pertama.






