Bekas Presiden Korea Selatan dipenjara 30 tahun lagi

Bekas Presiden Korea Selatan dipenjara 30 tahun lagi


Seoul: Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara 30 tahun di sebuah mahkamah di sini.

Hukuman itu dikeluarkan Mahkamah Daerah Pusat Seoul atas pertuduhan berkaitan penghantaran dron tentera ke Pyongyang untuk membantu mencipta helah bagi pengisytiharan undang-undang tentera yang gagal pada Disember 2024, lapor Yonhap.

Mahkamah mendapati Yoon bersalah atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan membantu musuh, dengan menyatakan beliau berpakat dalam operasi pencerobohan dron pada Oktober 2024 sejak peringkat awal menurut agensi berita berkenaan.

Yoon bagaimanapun menafikan melakukan sebarang salah laku.

Peguam beliau menyatakan Yoon tidak pernah mengarah atau meluluskan operasi itu, dan menegaskan ia tidak berkaitan dengan perintah undang-undang tentera, sebaliknya tindak balas terhadap tindakan Korea Utara yang menghantar belon berisi sampah merentasi sempadan.

Pendakwa raya sebelum ini menuntut hukuman penjara 30 tahun terhadap Yoon pada April lalu.

Keputusan itu menambah kepada beberapa sabitan terhadap pemimpin konservatif yang digulingkan itu, yang pernah berkhidmat sebagai pendakwa raya tertinggi negara, selepas perintah undang-undang tenteranya mencetuskan krisis politik paling teruk di Korea Selatan dalam beberapa dekad.

Pada Februari, beliau turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah mengetuai pemberontakan berkaitan cubaan melaksanakan undang-undang tentera itu.

Yoon disingkirkan daripada jawatan tahun lalu selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatannya, sekali gus membawa kepada pilihan raya mengejut yang dimenangi oleh Presiden liberal Lee Jae Myung.

Yoon yang kini sudah ditahan masih berhak untuk merayu terhadap keputusan terbaru itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top