Los Angeles: Pengendali Iran, Amir Ghalenoei mengakui ketegangan politik serta masalah visa yang melanda pasukannya menjejaskan persiapan menjelang Piala Dunia 2026, namun menegaskan pemainnya tidak akan terpengaruh dengan sebarang kontroversi di luar padang.
Iran tiba di kejohanan itu dalam suasana mencabar susulan pertikaian diplomatik dengan Amerika Syarikat (AS), yang dilaporkan enggan mengeluarkan visa kepada beberapa anggota staf sokongan pasukan.
Skuad Iran dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles esok, dalam perlawanan yang berlangsung di tengah-tengah perhatian terhadap hubungan tegang antara kedua-dua negara.
“Kami berada di sini untuk mempamerkan aksi yang baik dan berkualiti. Kami tidak memberi perhatian kepada segala gembar-gembur atau apa sahaja yang berlaku di sekeliling kami.
“Setiap pasukan mempunyai cabaran tersendiri dan dalam banyak negara, pelbagai perkara berlaku yang tiada kaitan dengan bola sepak,” katanya pada sidang media.
Menurut Ghalenoei, pasukannya hadir ke Piala Dunia semata-mata untuk mewakili rakyat Iran, termasuk komuniti Iran di seluruh dunia.
“Kami bukan orang politik. Bola sepak dan politik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.
Iran yang belum pernah melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Dunia diundi bersama Belgium, Mesir dan New Zealand dalam Kumpulan G.
© New Straits Times Press (M) Bhd






