Austin, Amerika Syarikat: Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk dilaporkan menjadi trilionair pertama di dunia susulan tawaran awam permulaan (IPO) besar-besaran syarikat berkenaan pada Jun 2026, lapor Gulf News.
Bagaimanapun, beliau terus menarik perhatian global disebabkan kontras ketara dalam gaya hidupnya apabila memilih untuk menetap di sebuah rumah pasang siap yang serba ringkas.
Berdasarkan laporan yang dipetik oleh Fortune, Musk kini kerap tinggal di sebuah rumah kecil seluas 400 kaki persegi (37.16 meter persegi) di Boca Chica di Texas.
Kediaman kompak itu terletak berhampiran kemudahan Starbase SpaceX iaitu lokasi utama bagi program Starship yang sedang giat dibangunkan syarikat berkenaan.
Unit kediaman itu hanya merangkumi ruang tamu kecil, ruang bilik tidur, kawasan dapur serta bilik air asas yang dilengkapi gabungan tab mandi dan pancuran, menurut Chron.
Musk sebelum ini pernah menggambarkan reka bentuk rumah kontena Boxabl berukuran 20×20 kaki (6.09×6.09 meter) itu sebagai “agak hebat” kerana menekankan aspek fungsi dan kesederhanaan tanpa sebarang hiasan mewah.
Sejak memindahkan operasi utama syarikatnya ke Texas pada 2020, Musk dilaporkan menjual sebahagian besar hartanah mewah miliknya di California.
Walaupun begitu, beliau masih mempunyai kaitan dengan beberapa hartanah mewah bernilai tinggi berhampiran Austin yang dianggarkan bernilai sekitar AS$35 juta (kira-kira RM164.5 juta).
Namun, Musk berulang kali menegaskan bahawa kediaman utamanya hanyalah sebuah rumah yang jauh lebih kecil bernilai AS$50,000 (kira-kira RM235,000) yang disewa daripada syarikatnya sendiri.
Pendedahan oleh The Wall Street Journal pula menggambarkan gaya hidup Musk yang serba sederhana, malah ibunya, Maye Musk dilaporkan menyatakan bahawa “tiada makanan di dalam peti sejuk” ketika beliau datang melawat.
Syarikat yang dikaitkan dengan Musk sebenarnya memiliki sekurang-kurangnya tiga rumah mewah di Austin masing-masing berkeluasan antara 6,000 hingga 9,000 kaki persegi (557.41 hingga 836.12 meter persegi) dan dilengkapi kolam renang namun, namun ia tidak menjadi pilihan beliau.
Biografer Walter Isaacson pada 2023 menggambarkan teratak sederhana dua bilik tidur itu sebagai lokasi kegemaran Musk untuk duduk di meja kayu sambil membuat panggilan telefon bagi menguruskan empayar perniagaannya.
Musk dilihat lebih mengutamakan kemajuan teknologi dan misi syarikatnya dalam membentuk semula masa depan pengangkutan, tenaga dan kemanusiaan di luar bumi berbanding mengejar keselesaan material peribadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd






