Istanbul: Iran menegaskan pada Isnin bahawa tiada perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) akan bertahan “tanpa jaminan komprehensif terhadap keselamatan dan kemerdekaan wilayah Lubnan,” lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita separa rasmi, Tasnim.
“Nama ‘Lubnan’ yang disebut sebanyak tiga kali dalam memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini menunjukkan kedudukan strategik negara berkenaan dalam proses perdamaian,” kata Jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baqaei kepada pemberita, seperti yang dipetik oleh Tasnim.
“Pelaksanaan gencatan senjata dan usaha menamatkan perang di Lubnan adalah sebahagian daripada pemahaman komprehensif untuk menamatkan peperangan,” katanya.
Jurucakap itu menegaskan bahawa pelepasan aset Iran yang dibekukan serta pampasan bagi kerugian perang merupakan “dua keutamaan ekonomi yang penting” dalam MoU yang dicapai dengan Washington.
“Amerika Syarikat berkewajipan untuk membatalkan semua sekatan utama dan sekunder, resolusi Majlis Keselamatan serta agensi nuklear,” katanya.
Butiran mengenai isu nuklear dan ekonomi akan dimuktamadkan dalam tempoh 60 hari selepas pemeteraian perjanjian itu, kata Baqaei.
Beliau berkata sebaik sahaja memorandum berkenaan ditandatangani pada Jumaat ini, semua sekatan sedia ada terhadap penjualan minyak, produk petroleum dan petrokimia Iran “akan ditarik balik serta-merta.”
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang negaranya mengetuai usaha pengantaraan antara Washington dan Tehran, mengumumkan pada awal Isnin bahawa AS dan Iran telah mencapai satu persetujuan untuk berdamai dan majlis menandatanganinya akan diadakan di Switzerland pada Jumaat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






