Jual MC KKM Palsu RM50 Hingga RM200, Jururawat Antara Lima Direman

Jual MC KKM Palsu RM50 Hingga RM200, Jururawat Antara Lima Direman


Kegiatan menjual sijil cuti sakit (MC) palsu dipercayai menggunakan dokumen rasmi kerajaan terbongkar di Pekan apabila lima individu termasuk seorang jururawat ditahan polis dalam operasi semalam.

Semua suspek berusia antara 30 hingga 55 tahun direman antara tiga dan empat hari selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun hari ini bagi membantu siasatan kes.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, semua suspek yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di daerah itu ditahan antara jam 3 petang hingga 10 malam.

Menurutnya, siasatan mendapati dua lelaki dan seorang wanita dipercayai bertindak sebagai orang tengah yang memasarkan MC palsu kepada pelanggan, manakala seorang jururawat wanita berusia 55 tahun disyaki menjadi pembekal dokumen rasmi kerajaan yang digunakan dalam kegiatan itu.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang bekerja di sebuah kilang di daerah berkenaan kerana disyaki membeli sijil cuti sakit palsu tersebut.

Kegiatan itu terbongkar selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan mengesan penjualan sijil cuti sakit menggunakan dokumen rasmi kerajaan yang dikeluarkan secara tidak sah di sebuah klinik kerajaan pada 12 Mei lalu.

Hasil siasatan dalaman PKD Pekan mendapati sijil terbabit menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan.

“Bagaimanapun pegawai perubatan itu sudah bertukar ke hospital di luar daerah Pekan sejak 2023 dan susulan itu agensi berkenaan membuat laporan polis pada 10 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaidi berkata, kumpulan berkenaan dipercayai menjual sijil cuti sakit palsu pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.






Source link

OR

Scroll to Top