BEKAS pemain kebangsaan, Azlan Johor tampil dengan kenyataan penuh tenang dan reda susulan timbul pelbagai spekulasi berkaitan peranannya sebagai pengulas sukan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang liputan Piala Dunia 2026.
Menerusi kenyataan di media sosial, Azlan berkata, beliau menerima segala ketentuan dengan hati terbuka dan menganggap apa yang berlaku sebagai sebahagian daripada ujian dalam kehidupan serta kerjayanya.
“Sesungguhnya dugaan kali ini amat berat, namun saya tetap tabah menghadapinya. Saya yakin setiap rezeki datang daripada ALLAH SWT,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberi sokongan dan kata-kata semangat kepadanya sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam masa sama, Azlan memberi gambaran bahawa tugasnya sebagai pengulas tidak lagi diteruskan sepanjang kejohanan, namun berpandangan dunia bola sepak akan terus berjalan seperti biasa.
“Walaupun saya tidak lagi memberi ulasan di Piala Dunia ini, bola sepak akan tetap diteruskan. Begitu juga dalam apa sahaja kerjaya, ia akan terus berjalan walaupun tanpa kita,” katanya.
Sebelum ini, RTM menafikan dakwaan bahawa Azlan direhatkan daripada tugas pengulas susulan penyertaannya dalam Pas.
Memetik laporan FMT, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana Azlan masih diberi ruang untuk muncul dalam siaran rasmi RTM sempena Piala Dunia.
Menurut beliau, pengumuman Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 13 Jun lalu mengenai penyertaan Azlan dalam parti itu tidak menghalang beliau daripada terus muncul dalam siaran RTM, termasuk mengulas perlawanan Brazil menentang Maghribi.
Ashwad berkata demikian ketika mengulas persoalan yang dibangkitkan Takiyuddin sama ada tindakan merehatkan Azlan sebagai pengulas sukan RTM bagi liputan Piala Dunia 2026 mempunyai kaitan dengan penyertaannya dalam Pas.
Beliau turut menjelaskan tiada kontrak tetap yang mengikat Azlan untuk mengulas kesemua 104 perlawanan Piala Dunia 2026 dan RTM berhak menjemput pengulas jemputan lain sepanjang kejohanan berlangsung.
RTM juga menegaskan peluang untuk tampil sebagai pengulas jemputan terbuka kepada individu lain mengikut keperluan siaran sepanjang kejohanan.






