Vancouver: FIFA akan membayar pampasan lumayan selepas Ismael Kone mengalami kecederaan patah kaki yang serius ketika Kanada menewaskan Qatar di Piala Dunia.
Kemenangan besar 6-0 pasukan kendalian Jesse Marsch itu dibayangi kecederaan ngeri yang menimpa Kone pada awal separuh masa kedua di Vancouver.
Kone terpaksa diusung keluar susulan terjahan buruk daripada Assim Madibo, yang dilayangkan kad merah selepas semakan VAR dan kemudian dilaporkan memohon maaf di bilik persalinan.
Pemain tengah itu jelas menanggung kesakitan tetapi masih sempat melambai kepada penyokong yang melaungkan namanya ketika dibawa keluar ke terowong sebelum dikejarkan ke hospital.
Bercakap selepas perlawanan, pengurus Jesse Marsch berkata mereka yang berada berhampiran boleh mendengar bunyi tulang patah dan menambah “semua orang sangat terkesan dengan apa yang berlaku kepadanya”.
Selepas Kone memuat naik mesej di Instagram dengan mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan rakan sepasukan atas sokongan diberikan, Kanada mengeluarkan kenyataan rasmi mengesahkan Kone menjalani pembedahan yang berjaya untuk membaiki patah pada anggota bawah dan beliau dijangka pulih sepenuhnya.
Walaupun tiada tempoh rasmi diumumkan untuk kembali beraksi, Kone dijangka terpaksa berehat selama empat hingga lima bulan.
Susulan kecederaan itu, FIFA akan membayar pampasan kepada kelabnya, Sassuolo.
Program Perlindungan Kelab FIFA diwujudkan untuk menanggung kos pemain yang mengalami kecederaan tidak disengajakan ketika dilepaskan oleh kelab untuk mewakili negara.
Penyakit dan kos rawatan perubatan tidak termasuk dalam skim itu, namun serangan jantung dan strok masih dilindungi.
Semua perlawanan, sesi latihan dan perjalanan termasuk dalam syarat perlindungan, selagi ia berlaku dalam tempoh operasi program dan pemain tidak dapat bermain melebihi 28 hari.
Kecederaan Kone jelas memenuhi syarat tersebut dan Sassuolo akan menerima pampasan kerana pemain mereka tidak dapat diturunkan untuk sebahagian besar musim 2026/27.
Jumlah pampasan kepada kelab Itali itu dikira berdasarkan gaji tetap pemain, yang dilaporkan sekitar £22,600 (RM120,000) seminggu.
Tanpa mengambil kira bonus, Kone dipercayai memperoleh kira-kira £3,200 (RM17,520) sehari.
Memandangkan 28 hari pertama tidak dikira dan Kone dijangka berehat sekitar 150 hari, Sassuolo berkemungkinan menerima pampasan sekitar £480,000 (RM2.63 juta).
Kelab itu mengeluarkan kenyataan: “Pembedahan untuk membaiki patah pada kaki kiri beliau berjalan dengan jayanya sepenuhnya. Pemain akan memulakan program pemulihan dalam beberapa hari akan datang.”
Kanada akan meneruskan kempen mereka tanpa Kone apabila menentang Switzerland di Vancouver pada Rabu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






