Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor – Tunku Mahkota Ismail

Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor – Tunku Mahkota Ismail


MUAR: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Johor berdepan banyak ‘kebocoran’ sehingga menyebabkan pembangunan di negeri ini tidak dapat dilaksana secara menyeluruh.

Baginda sebaliknya bertitah, kerajaan Persekutuan turut menjadi punca perkara itu berlaku apabila tidak mengembalikan hasil pendapatan negeri secara adil.

“Sahabat saya, Perdana Menteri baru-baru ini membuat kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak bocor. Ya, memang banyak bocor, kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor.

“Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan bagi memenuhi keperluan hampir lima juta rakyat negeri ini,” titah baginda dalam satu sesi yang diadakan bersama rakyat di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar, di sini hari ini.

Menurut baginda lagi, kenyataan berkenaan berdasarkan pengalaman baginda sendiri berdepan projek pembangunan Johor yang didakwa dilambatkan atau disekat oleh Putrajaya.

“Apabila kita memberi hasil negeri lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga hampir 5 juta rakyat Johor, bagaimana. Benda itu tidak logik. Justeru, sekurang-kurangnya 25 hingga 30 peratus hasil yang dikutip dari Johor wajar dikembalikan kepada negeri bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan kebajikan rakyat dilaksana.

“Apabila timbul banyak isu seperti bumbung sekolah di Segamat, jalan rosak di Batu Pahat, kelewatan projek kesihatan termasuk di Hospital Pasir Gudang, kekurangan petugas kesihatan dan lain-lain akan menjejakkan kesejahteraan rakyat Johor.

“Siapa yang susah, rakyat yang susah atau orang atasan yang susah. Rakyat yang susah,” titah baginda.

Sehubungan itu, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah menggesa kerajaan Persekutuan untuk memandang aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat Johor secara lebih serius pada masa depan.

“Kita bukan mahu bermusuh, berdepan dengan sesiapa atau memberi masalah kepada kerajaan yang mentadbir negara. Tetapi mereka kena jaga kita sebagai rakan. Sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan mengambil serius kehidupan rakyat Johor, kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri ini,” titah baginda.-UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top