Los Angeles: Belanda semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia selepas membelasah Sweden 5-1, hari ini, ketika Jerman dan Ivory Coast bersiap sedia memburu tiket ke kelompok 32 terbaik.
Sweden yang membuka kempen Kumpulan F dengan kemenangan 5-1 ke atas Tunisia hadir ke Houston dengan misi meraih tiga mata yang akan menjamin kemaraan mereka ke pusingan seterusnya.
Namun, hasrat skuad kendalian Graham Potter itu berkecai apabila Belanda tampil garang dan mendahului 2-0 dalam tempoh 17 minit menerusi dua jaringan penyerang Sunderland, Brian Brobbey.
Penyerang Liverpool, Cody Gakpo kemudian menambah dua lagi gol dalam sembilan minit pertama babak kedua untuk meletakkan Belanda selesa di depan 4-0.
Jaringan Anthony Elanga selepas itu sekadar mengurangkan defisit buat Sweden sebelum Crysencio Summerville melengkapkan kemenangan bergaya Belanda dengan gol kelima pada minit ke-89.
Kemenangan itu menyaksikan Belanda yang seri 2-2 dengan Jepun dalam aksi pembukaan mengumpul empat mata dengan kelebihan perbezaan jaringan +4, sekali gus meletakkan mereka hampir pasti ke pusingan 32 terbaik dalam kejohanan yang kini membabitkan 48 pasukan.
Kali terakhir Sweden dibolosi lima gol dalam satu perlawanan Piala Dunia adalah ketika tewas 5-2 kepada Brazil pada aksi final 1958.
Dalam perkembangan lain, Jerman atau Ivory Coast berpeluang mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan E di Toronto.
Jerman memulakan kempen dengan cemerlang apabila membelasah pendatang baharu, Curacao 7-1 dan boleh muncul juara kumpulan lebih awal jika menewaskan Ivory Coast dan pada masa sama Ecuador gagal mengatasi Curacao di Kansas City.
Kemaraan ke pusingan kalah mati pasti melegakan skuad kendalian Julian Nagelsmann yang gagal melepasi peringkat itu sejak menjulang trofi Piala Dunia buat kali keempat di Brazil pada 2014.
Nagelsmann berkata pasukannya perlu bersedia menghadapi ancaman kepantasan pemain Ivory Coast, terutama pemain sayap kelahiran Perancis, Nicolas Pepe.
“Kepantasan mereka adalah antara kekuatan utama dan itulah yang mereka lakukan dengan sangat baik.
“Dalam perlawanan lalu, Pepe berada di mana-mana,” katanya.
Sementara itu, sejarah bakal tercipta di Monterrey, Mexico apabila pertemuan Jepun dan Tunisia menjadi perlawanan ke-1,000 dalam sejarah Piala Dunia.
Pengendali Jepun, Hajime Moriyasu mengingatkan pemainnya supaya bersedia menghadapi cabaran Tunisia yang kini dibimbing Herve Renard selepas Sabri Lamouchi menjadi jurulatih pertama dalam sejarah Piala Dunia yang dipecat selepas hanya satu perlawanan.
Semalam, Amerika Syarikat mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Australia 2-0 di Seattle.
Kemenangan Paraguay 1-0 ke atas Turkiye kemudian memastikan Amerika Syarikat muncul juara Kumpulan D, sekali gus memberi mereka laluan yang secara teori lebih mudah pada pusingan 32 terbaik.
Selepas melalui persiapan yang kurang meyakinkan menjelang kejohanan, skuad tuan rumah itu kini mula memasang impian lebih besar.
“Sudah tentu kami mengharungi satu perlawanan demi satu perlawanan, tetapi saya tidak fikir keterlaluan untuk mengatakan kami mahu memenanginya,” kata pertahanan Amerika Syarikat, Chris Richards.
© New Straits Times Press (M) Bhd






