Sepanyol cari sentuhan kemenangan

Sepanyol cari sentuhan kemenangan


GEORGIA: Sepanyol tidak mempunyai pilihan selain meraih kemenangan apabila berdepan Arab Saudi dalam aksi kedua Kumpulan H Piala Dunia 2026, hari ini selepas memulakan kempen dengan keputusan mengecewakan.

La Roja yang diletakkan antara pasukan pilihan kejohanan sekadar seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam perlawanan pembukaan, sekali gus mengundang kritikan terhadap prestasi mereka yang dilihat kurang menyengat.

Keputusan itu meletakkan skuad kendalian Luis de la Fuente di bawah tekanan kerana kegagalan mengutip tiga mata sekali lagi boleh menjejaskan peluang mereka untuk mara ke pusingan 32 terbaik.

Sepanyol bagaimanapun dijangka tampil dengan wajah berbeza apabila bintang muda sensasi, Lamine Yamal berkemungkinan diturunkan dalam kesebelasan utama selepas hanya beraksi sebagai pemain gantian sebelum ini.

Kehadiran pemain berusia 18 tahun itu dijangka memberi suntikan kreativiti kepada jentera serangan Sepanyol yang dilihat tumpul ketika berdepan Cape Verde.

Selain Yamal, Nico Williams juga berpeluang disenaraikan dalam skuad utama bagi menambah kelajuan dan ancaman di bahagian sayap, sekali gus memperkukuhkan barisan serangan La Roja.

Rekod pertemuan jelas memihak kepada Sepanyol apabila mereka memenangi semua tiga perlawanan terdahulu menentang Arab Saudi termasuk kemenangan 1-0 dalam saingan Piala Dunia 2006.

Namun, Arab Saudi bukan lawan yang boleh dipandang mudah selepas mempamerkan semangat juang tinggi ketika mengikat Uruguay 1-1 dalam aksi pertama kumpulan.

Pasukan bimbingan Georgios Donis itu hampir mencipta kejutan apabila mendahului menerusi jaringan Abdulelah Al Amri sebelum Uruguay menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan semua pasukan dalam Kumpulan H mengumpul satu mata, menjadikan saingan untuk merebut dua slot ke pusingan seterusnya terbuka luas.

Bagi Sepanyol, kemenangan ke atas Arab Saudi bukan sahaja penting untuk memperbaiki kedudukan dalam kumpulan, malah mampu mengembalikan keyakinan pasukan yang memburu gelaran Piala Dunia kedua selepas kejayaan bersejarah pada tahun 2010.

Dengan kualiti pemain yang dimiliki serta pengalaman beraksi di pentas tertinggi dunia, La Roja dijangka turun sebagai pilihan, namun mereka perlu membuktikannya di atas padang jika tidak mahu terus dihantui keputusan mengecewakan pada aksi pembukaan. – AGENSI/UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top