Kerajaan Selangor memperuntukkan tambahan RM6 juta bagi membantu 2,469 petani dan nelayan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2, susulan keperluan sokongan tambahan kepada sektor agromakanan negeri.
Bantuan itu disalurkan dalam bentuk baucar makanan ternakan, baja, baucar bahan api serta bantuan tunai antara RM300 hingga RM600 mengikut musim penuaian atau secara bulanan.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan berkenaan merupakan tambahan kepada program Bantuan Pertanian yang telah diumumkan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1.
“Atas permintaan dan keperluan tambahan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah bantuan kepada golongan petani dan nelayan, iaitu seramai 2,469 penerima.
“Ia sebagai tambahan kepada Bantuan Pertanian yang Kerajaan Negeri umumkan dalam pakej Fasa 1 yang sedang berjalan,” katanya ketika membentangkan pakej berkenaan pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.
April lalu, kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 bagi menyokong sektor pertanian, yang dijangka memberi manfaat kepada 16,395 penerima di seluruh negeri.
Menurut Amirudin, bantuan itu bertujuan mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha akuakultur melalui sokongan bahan api, input pertanian serta makanan ternakan.
Beliau berkata bantuan berbentuk tunai dan baucar tersebut penting bagi memastikan kesinambungan pengeluaran makanan, di samping memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diperkenalkan sebagai langkah kerajaan negeri mendepani kesan krisis tenaga dan bekalan global susulan konflik di Asia Barat, termasuk cabaran kenaikan kos serta gangguan rantaian bekalan yang memberi tekanan kepada rakyat dan sektor perniagaan.
KREDIT GAMBAR UTAMA: KOSMO






