Pertikaian antara Persatuan Kriket Malaysia dengan bekas presiden perlu diselesaikan – Penganalisis

Pertikaian antara Persatuan Kriket Malaysia dengan bekas presiden perlu diselesaikan – Penganalisis

Pertikaian antara Persatuan Kriket Malaysia dengan bekas presiden perlu diselesaikan – Penganalisis


KUALA LUMPUR – Pertikaian antara Persatuan Kriket Malaysia (MCA) dengan bekas presiden, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali perlu diselesaikan bagi memastikan persiapan pasukan itu untuk menghadapi saingan kompetitif tidak terbantut.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, perlu ada jalan penyelesaian untuk mereka supaya pembangunan sukan kriket tak tertangguh atau melarat.

Beliau berkata, pasukan kriket lelaki negara berjaya mencipta gemilang apabila muncul juara “ACC Men’s Challenger Cup 2026”, sekali gus meletakkan pasukan kriket negara di landasan yang tepat sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan antarabangsa selepas ini.

“Pun begitu di sebalik kejayaan ini, ada isu yang perlu diselesaikan segera bagi memastikan segala perancangan pasukan negara tidak tergendala disebabkan pertikaian antara MCA dan bekas kepimpinan terdahulu.

“Kalau isu ini berpanjangan tak bagus untuk sukan kriket, banyak persiapan sedang dilakukan untuk kejohanan antarabangsa. Kita harap keputusan mahkamah beri kebaikan, benda (pertikaian) ini perlu dimuktamadkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Untuk rekod, keputusan kes saman dikemukakan seorang pemimpin yang mewakili MCA terhadap bekas Presiden, Mohammed Iqbal dan beberapa Exco sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 29 Jun ini di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, prosiding kes berkenaan yang dikendalikan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan itu sepatutnya didengar pada 17 April lalu.

Bagaimanapun tarikh itu ditukar kepada 29 Jun dan kemudiannya dicadangkan pada 17 Julai depan.

Difahamkan mahkamah telah menukar kembali tarikh tersebut kepada 29 Jun ini.

Prosiding bermula Oktober 2025 yang berlanjutan sehingga kini itu bagi memohon Mohammed Iqbal Ali dan barisan kepimpinannya yang tewas dalam pemilihan pada April tahun lalu, termasuk Dr Arun Kumar dan Amarjeet Singh supaya tidak lagi menggunakan jawatan dalam MCA selepas peletakan jawatan mereka sebelum ini.

Manakala, dua lagi bekas Exco persatuan itu yang tewas pada Mesyuarat Agung Dwitahunan, 27 April tahun lalu yang turut dinamakan dalam saman berkenaan mengakui dan mengiktiraf keputusan pemilihan itu.

Ini berdasarkan keputusan penghakiman pada 24 Oktober lalu di hadapan Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin, persetujuan diberikan dua bekas Exco berkenaan, Mahnorizal Mahat dan Ahmad Salman Othman, sekali gus menamatkan pertelingkahan mereka dengan MCA.

Mahnorizal dan Ahmad Salman berada dalam barisan Exco persatuan itu ketika kepimpinan Mohammed Iqbal

Sementara itu, Pekan berkata, segala keputusan mahkamah kelak perlu dihormati oleh kedua-dua belah pihak bagi memastikan perjalanan MCA tidak diganggu lagi.

Tegasnya, isu sebegini tidak baik dalam persatuan sukan negara kerana ia boleh menjejaskan pembangunan sukan berkenaan.

“Oleh itu katanya, keputusan mahkamah adalah penting bagi memastikan pertikaian ini ditamatkan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top