PN terima Pejuang, PCM sebagai anggota baharu

PN terima Pejuang, PCM sebagai anggota baharu

PN terima Pejuang, PCM sebagai anggota baharu


KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menerima dua parti politik baharu sebagai parti anggota gabungan itu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketetapan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung Pas, di sini malam ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN serta penggunaan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak diputuskan dalam mesyuarat malam ini.

Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat yang bermula kira-kira pukul 9.30 malam dihadiri wakil semua parti komponen PN.

Katanya, mesyuarat hanya membincangkan dua agenda utama iaitu keanggotaan PN serta persiapan menghadapi PRN Johor.

“Mesyuarat bersetuju meluluskan permohonan dua parti politik untuk menjadi parti anggota Perikatan Nasional yang baharu iaitu Pejuang dan PCM,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini malam ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat turut bersetuju memuktamadkan agihan kerusi PRN Johor melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera.

Katanya, jawatankuasa itu akan bermesyuarat esok bagi menyelesaikan rundingan kerusi sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.

“Setiap parti akan menghantar dua wakil dan rundingan itu akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PN.

“Perbincangan itu turut diselaraskan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” katanya.

Mengulas suasana mesyuarat, Ahmad Samsuri berkata, perbincangan berlangsung secara harmoni dengan semua pihak diberikan ruang mengemukakan pandangan masing-masing.

Katanya, terdapat pandangan yang sama dan berbeza, namun perkara itu adalah biasa dalam mana-mana mesyuarat sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

“Insya-Allah, esok perbincangan mengenai kerusi akan diselesaikan,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top