Dua gol Ronaldo diamkan mulut pengkritik

Dua gol Ronaldo diamkan mulut pengkritik

Dua gol Ronaldo diamkan mulut pengkritik


Houston: Cristiano Ronaldo menutup mulut pengkritik selepas mengharungi “minggu gelap” apabila kapten Portugal itu menjaringkan dua gol dan menjadi pemain pertama meledak dalam enam edisi Piala Dunia ketika membantu pasukannya membelasah Uzbekistan 5-0, awal pagi tadi.

Kemenangan besar di Houston meletakkan Portugal semakin hampir ke pusingan kalah mati dan menjadi jawapan terbaik buat pemain berusia 41 tahun itu terhadap segala kritikan yang diterimanya.

Gol pembukaan Ronaldo pada minit keenam menyaksikannya mencipta sejarah, mengatasi Lionel Messi dengan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam enam Piala Dunia bermula sejak 2006.

Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu meraikan jaringan dengan aksi ikonik “Siu” di hadapan 68,777 penonton.

Selepas Nuno Mendes menggandakan kelebihan Portugal, Ronaldo menambah gol kedua peribadinya menerusi penyudah tenang enam minit sebelum tamat babak pertama.

Jaringan itu menjadikan jumlah gol Piala Dunianya meningkat kepada 10, paling banyak pernah dicatatkan pemain Portugal, mengatasi legenda Eusebio.

Ronaldo dilihat melaungkan “Saya kembali, saya kembali” dan ketika ditemu bual selepas perlawanan, dia mengakui melalui tempoh yang sukar.

“Ia sentiasa menyeronokkan apabila memecahkan rekod, tetapi matlamat saya adalah membantu pasukan kebangsaan mencapai sasaran mereka.

“Ia minggu yang sukar, minggu yang gelap. Seolah-olah saya sudah bersara daripada bola sepak.

“Tetapi seperti biasa, saya terus bertahan kerana saya lebih percaya kepada kerja keras berbanding perkara lain.

“Memang sukar, saya akui, tetapi kami sudah kembali,” katanya.

Ronaldo yang memulakan perlawanan dengan rekod 143 gol antarabangsa, hampir membuka jaringan seawal minit ketiga tetapi gagal menyentuh hantaran Nuno Mendes di tiang jauh.

Namun dia tidak perlu menunggu lama apabila menyambar hantaran Joao Cancelo dari dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Uzbekistan, Abduvohid Nematov.

Pasukan bimbingan Fabio Cannavaro itu menjadi lawan terbaik buat Ronaldo menemui semula sentuhan penyudahnya.

Uzbekistan sempat merapatkan kedudukan menerusi jaringan Azizjon Ganiev, namun gol itu dibatalkan VAR kerana berlaku kekasaran terhadap Cancelo.

Ronaldo hampir melengkapkan hatrik tetapi percubaannya diselamatkan Nematov yang turut melanggarnya dalam situasi berkenaan.

Portugal menambah gol keempat hasil jaringan sendiri Nematov sebelum pemain gantian Rafael Leao melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol kelima pada minit ke-87.

Sebelum perlawanan itu, tekanan semakin memuncak terhadap Ronaldo yang gagal menjaringkan gol dalam 10 aksi berturut-turut di kejohanan utama, dengan hanya satu bantuan jaringan direkodkan.

Portugal akan menutup aksi Kumpulan K menentang Colombia pada Sabtu ini, pasukan yang sebelum ini menewaskan Uzbekistan 3-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top