Selangor Suntik RM114 Juta Perkasa Fasiliti Awam, Lancarkan Aliran Tunai 500 Syarikat

Selangor Suntik RM114 Juta Perkasa Fasiliti Awam, Lancarkan Aliran Tunai 500 Syarikat

Selangor Suntik RM114 Juta Perkasa Fasiliti Awam, Lancarkan Aliran Tunai 500 Syarikat


Kerajaan Selangor memperuntukkan RM114 juta menerusi dua inisiatif utama bagi memperkukuh kemudahan awam dan membantu sektor perniagaan berdepan cabaran ekonomi semasa.

Daripada jumlah itu, RM14 juta disalurkan untuk menaik taraf fasiliti awam menerusi Projek Selangor Penyayang, manakala RM100 juta lagi diperuntukkan bagi memperluas pelaksanaan program Selangor Advance (SA500) yang memberi sokongan aliran tunai kepada syarikat dan kontraktor.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri tidak hanya menumpukan kepada bantuan tunai dan keperluan asas, sebaliknya turut memberi perhatian terhadap aspek keselesaan serta kualiti kemudahan yang digunakan rakyat setiap hari.

“Antara usaha yang memberi manfaat kepada rakyat adalah fasiliti taman awam dan pengecatan pangsapuri yang melebihi 15 tahun.

“Bagi mengukuhkan lagi fasiliti awam, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM14 juta untuk dimanfaatkan oleh kawasan-kawasan di seluruh Selangor,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, Jumaat lalu.

Peruntukan itu dijangka memberi manfaat kepada pelbagai kawasan di seluruh negeri menerusi kerja-kerja penambahbaikan kemudahan awam, termasuk taman rekreasi dan kawasan perumahan berstrata yang memerlukan penyelenggaraan.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri turut memperluaskan program Selangor Advance bagi membantu syarikat yang terlibat dalam projek infrastruktur negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan operasi perniagaan ketika kos meningkat akibat gangguan bekalan global.

Menurut Amirudin, sektor logistik dan pembuatan antara yang paling terkesan susulan kenaikan harga bahan serta kekangan sumber bekalan sejak kebelakangan ini.

“Peruntukan RM100 juta ini dijangka dapat memanfaatkan 500 syarikat serta kontraktor yang berurusan di negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata program Selangor Advance yang diperkenalkan ketika pandemik Covid-19 sebelum ini terbukti membantu mempercepatkan pembayaran menerusi invois sedia ada sekali gus meningkatkan kecairan kewangan syarikat.

Sejak dilaksanakan, seramai 1,398 syarikat telah memanfaatkan kemudahan berkenaan bagi melancarkan urusan perniagaan dan mengurangkan tekanan aliran tunai.

Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 yang diperkenalkan bagi mengurangkan kesan krisis tenaga dan gangguan bekalan global susulan konflik di Asia Barat, selain memastikan kestabilan ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.






Source link

OR

Scroll to Top