Buenos Aires: Terharu dengan prestasi rekod Lionel Messi di Piala Dunia, rakyat Argentina turun ke jalan raya dan media sosial untuk menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ kepada bintang bola sepak kegemaran mereka yang menyambut ulang tahun ke-39, hari ini.
Di bawah tanda pagar #CumpleLEO, stesen televisyen tempatan, Telefe melancarkan kempen agar rakyat Argentina menyanyikan ‘Selamat Hari Lahir’ untuk Messi pada jam 10 pagi dan 10 malam waktu tempatan, merujuk kepada nombor jersi 10 yang dipakai kapten Argentina itu.
Dengan mengibarkan bendera Argentina, kumpulan rakan di gimnasium, kanak-kanak di sekolah, pekerja kedai dan jiran di seluruh negara bersama-sama memenuhi media sosial dengan ucapan tahniah.
“Terima kasih atas segala kegembiraan dan kerana mengharumkan nama Argentina di peringkat tertinggi. Selamat hari lahir, juara!” tulis sekumpulan pekerja sebuah pengedar kereta di wilayah Buenos Aires.
Sekumpulan penyokong lain pula berkumpul di Obelisk ikonik di pusat bandar Buenos Aires.
“Saya sudah berada di sini sejak jam 6 pagi,” kata Ruben Acosta, 71, kepada Reuters.
“Saya sayangkan Messi. Dia seperti makhluk asing. Messi memang luar biasa. Dia bukan dari dunia ini. Dia datang dari galaksi lain.”
Presiden, Javier Milei turut mengucapkan selamat hari lahir kepada Messi menerusi akaun X miliknya dengan menulis ‘SELAMAT HARI LAHIR L10NEL…!!! MAJU ARGENTINA…!!!”
Pemenang lapan Ballon d’O itu menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Piala Dunia pada Isnin dan sudah menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan di kejohanan itu.
Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni hanya mengharapkan satu perkara untuk bintang pasukannya itu.
“Supaya dia bahagia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






