KANGAR: Enam pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Myanmar ditahan di kawasan persisiran Pantai Sungai Belati, Simpang Empat, di sini, pada Selasa lalu, selepas dipercayai memasuki negara ini melalui laluan laut secara haram.
Berdasarkan maklumat risikan, keenam-enam Pati berusia lingkungan 19 hingga 38 tahun berketurunan etnik India itu ditahan menerusi Op Taring Landai yang dijalankan sekitar pukul 8.30 malam di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, semasa operasi itu, pasukan penguatkuasa terlibat telah meminta semua Pati berkenaan untuk mengemukakan dokumen pengenalan diri namun pihak terlibat didapati gagal untuk berbuat demikian.
“Hasil pemeriksaan ke atas semua Pati terlibat juga tidak menemui sebarang barangan salah dalam simpanan mereka,” katanya di sini, hari ini.
Yusharifuddin berkata, menerusi siasatan awal, semua Pati terlibat didapati telah memasuki sempadan dengan menaiki bot pancung dari negara jiran yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mereka berehat.
Katanya, tujuan semua Pati itu memasuki sempadan ini adalah dipercayai untuk bekerja sebagai buruh kasar atau petani di ladang namun lokasi tepat mereka akan dihantar tidak dapat dikenal pasti buat masa ini.
“Difahamkan apabila Pati ini sampai ke Malaysia, mereka akan diambil oleh seseorang untuk dibawa ke lokasi mereka bekerja. Semua Pati ini juga dijumpai semasa sedang menunggu di persisiran pantai,” katanya.
Ujar Yusharifuddin, berikutan itu, semua Pati terlibat telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar untuk tindakan selanjutnya.
Tambahnya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Operasi ini turut melibatkan Pasukan Risik Marin Perlis/Kedah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, Task Force Balai Polis Kuala Perlis dan pasukan peronda IPD Kangar,” katanya.-UTUSAN





