Cheng Hoe sedar cabaran besar menanti Harimau Malaya

Cheng Hoe sedar cabaran besar menanti Harimau Malaya


KETUA Jurulatih Interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui cabaran besar menanti pasukan kebangsaan menjelang kempen Piala AFF 2026, khususnya dalam aspek persiapan awal skuad.

Beliau berkata, situasi ketika ini agak mencabar memandangkan kebanyakan pemain kebangsaan sedang berada dalam tempoh rehat antara musim bersama kelab masing-masing, sekali gus memberi kesan kepada fasa awal persiapan pasukan.

Sehubungan itu, Cheng Hoe berharap mendapat kerjasama penuh daripada kelab-kelab Liga Malaysia bagi memastikan pemain utama dapat dilepaskan lebih awal untuk menyertai kem latihan pusat.

“Saya rasa semua mengetahui keadaan semasa pasukan kerana ramai pemain sedang berada dalam tempoh offseason dan bukan mudah untuk mengekalkan tahap kecergasan serta prestasi mereka.

“Kami berharap kelab dapat memberikan kerjasama dengan melepaskan pemain utama supaya mereka dapat menyertai latihan dan persiapan pasukan kebangsaan menjelang kempen AFF nanti,” katanya.

Menurutnya, persiapan awal yang baik akan menjadi faktor penting dalam membentuk keseimbangan dan keserasian skuad menjelang kejohanan berkenaan.

Mengulas mengenai sasaran pasukan, Cheng Hoe memilih pendekatan berhati-hati dengan memberi fokus kepada setiap perlawanan tanpa meletakkan tekanan berlebihan kepada pemain.

“Bagi kempen AFF kali ini, kita akan ambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan untuk mendapatkan keputusan terbaik.

“Kita tahu setiap pasukan mempunyai sasaran untuk melangkah ke peringkat seterusnya dan perkara sama turut menjadi matlamat kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru penyokong Harimau Malaya agar terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kerana ia mampu menjadi kekuatan tambahan kepada pemain dan barisan kejurulatihan.

“Saya ingin menyeru semua penyokong Harimau Malaya untuk terus bersama pasukan kebangsaan. Sokongan anda menjadi kekuatan besar kepada pemain dan juga pasukan,” katanya.

Kempen Piala AFF 2026 dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini dengan format timbal balik di mana semua pasukan akan beraksi di tempat sendiri dan tempat lawan sepanjang kejohanan.



Source link

OR

Scroll to Top