JIM Perlis tubuh pasukan khas pantau kehadiran etnik Rohingya

JIM Perlis tubuh pasukan khas pantau kehadiran etnik Rohingya

JIM Perlis tubuh pasukan khas pantau kehadiran etnik Rohingya


am@hmetro.com.my

Kangar: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menubuhkan Pasukan Petugas Khas (Task Force) bagi pemantauan rekod kehadiran etnik Rohingya di seluruh negeri ini.

Pengarah JIM Perlis, Mohammad A’sim Md Ali berkata, inisiatif di bawah seliaan Bahagian Penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan aduan dan maklumat awam berhubung kehadiran warga asing terbabit dari semasa ke semasa.

Katanya, aduan yang diterima lazimnya membabitkan isu keberadaan warga asing tanpa dokumen sah, penempatan serta aktiviti pekerjaan dan perniagaan yang dipercayai dijalankan tanpa kebenaran.

“Bagi mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai kehadiran etnik Rohingya di Perlis, pasukan khas ini diwujudkan untuk memantau dan membuat verifikasi rekod mereka di seluruh negeri.

“Berdasarkan semakan awal ke atas kumpulan yang dikenal pasti berada dalam komuniti setempat, didapati kebanyakan mereka memiliki kad pendaftaran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad A’sim berkata, dalam perkembangan terkini, pihaknya turut menerima serahan 39 individu etnik Rohingya daripada jabatan dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Hasil semakan mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kini sedang menjalani proses siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menyentuh mengenai prestasi penguatkuasaan sepanjang tempoh Januari hingga Mei lalu, beliau berkata, JIM Perlis melaksanakan 153 operasi yang melibatkan 34 aktiviti risikan dan pemantauan.

“Menerusi siri operasi tersebut, kita telah menahan seramai 118 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dan merekodkan kutipan kompaun berjumlah RM369,570,” katanya.

Beliau berkata, jabatan itu berpandangan isu terbabit perlu ditangani secara profesional, berhemah dan berasaskan fakta serta data yang sahih.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top