Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang merupakan komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk memainkan peranan sebagai pembangkang serta penasihat kepada Kerajaan Negeri Johor apabila memutuskan bertanding di 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula esok.
Sasar jadi pembangkang

Memetik laporan Utusan Malaysia, secara keseluruhan, PN meletakkan calon di 33 kerusi dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 16 kerusi, Pas di 11 kerusi, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) di lima kerusi dan Pejuang di satu kerusi.
Bagi membentuk kerajaan negeri, sesebuah parti atau gabungan politik perlu memperoleh sekurang-kurangnya 29 kerusi, iaitu majoriti mudah daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu optimis mampu mencapai sasaran memenangi kesemua 11 kerusi yang dipilih oleh kepimpinan Pas Johor untuk ditandingi pada PRN kali ini.
Beliau berkata, antara calon yang diketengahkan ialah bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor, Mazlan Bujang.

“Kita bertanding 11 kerusi DUN, sasaran kita jadi pembangkanglah di Johor. Jadi pembangkang dan penasihat kepada kerajaan negeri,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sasaran Pas pada PRN Johor yang bermula esok.
Artikel lain: Abdul Hadi enggan ulas isu PAS, BERSATU – “Tunggu minggu depan saya beri kenyataan”
Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan keutamaan Pas adalah memastikan kerajaan negeri selepas pilihan raya diterajui oleh orang Melayu dan beragama Islam.
“Johor kita mahu ditadbir oleh Melayu-Islam. Kita tidak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal dan bukan Islam. Biar orang Islam yang memerintah Johor. Itu yang penting,” tambahnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia (Mohd Shariza Abdullah)





