Brussels: Kesatuan Eropah (EU) menghantar pasukan penyelamat serta bantuan kecemasan lain ke Venezuela bagi membantu menangani situasi kecemasan susulan dua gempa bumi yang melanda negara itu awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua negara anggota atas semangat solidariti dan tindakan pantas mereka dengan menghantar anggota bomba, anjing pengesan dan penyelamat, petugas perubatan serta pelbagai bentuk bantuan lain,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, pada Jumaat.
Menurut satu kenyataan media, lebih 520 anggota pasukan tindak balas kecemasan dari lapan negara anggota EU, termasuk Jerman digerakkan selepas Venezuela mengemukakan permohonan bantuan kepada EU.
Selain itu, Itali menghantar satu pasukan perubatan manakala Luxembourg menyediakan peralatan telekomunikasi, tempat perlindungan sementara dan bekalan tenaga.
EU turut menyediakan imej satelit serta data geospatial lain daripada perkhidmatan satelit Copernicus kepada Venezuela secara percuma.
© New Straits Times Press (M) Bhd





