Clarissa galas cabaran ganti Ee Wei

Clarissa galas cabaran ganti Ee Wei

Clarissa galas cabaran ganti Ee Wei


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie bakal memulakan cabaran bersama wajah baharu apabila digandingkan dengan pemain muda, Clarissa San, sementara Toh Ee Wei menjalani proses pemulihan kecederaan lutut.

Gandingan sementara itu akan membuka tirai kempen mereka pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun di Tokyo dari 14 hingga 19 Julai sebelum meneruskan aksi di Terbuka China.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto percaya peluang beraksi bersama Tang Jie di pentas bertaraf dunia mampu menjadi pengalaman berharga buat Clarissa yang sedang meningkat naik.

Menurutnya, pemain berusia 20 tahun itu dipilih kerana dianggap sebagai prospek terbaik dalam kalangan pemain muda negara ketika ini. Nova berkata, selain memiliki potensi besar, Clarissa turut mempunyai corak permainan yang hampir sama dengan Ee Wei walaupun masih kurang dari segi pengalaman.

“Apa yang pasti, untuk Tang Jie dan Clarissa memang bagus untuk cuba di kejohanan besar supaya dia dapat merasakan suasana itu.

“Saya pilih Clarissa kerana merasakan dia yang paling bagus di skuad remaja.

“Secara tipikal, memang ada persamaan antara Clarissa dan Ee Wei tetapi mungkin Ee Wei lebih matang. Corak permainan memang hampir serupa kerana dia seorang perancang seperti Ee Wei,” katanya.

Sebagai rekod, Ee Wei dijangka terpaksa berehat panjang selepas mengalami koyakan separa pada ligamen anterior cruciate (ACL) lutut kiri ketika beraksi pada Terbuka Singapura, Mei lalu.

Kecederaan itu bukan sahaja memaksa pasangan utama negara dipisahkan buat sementara waktu, malah turut menimbulkan tanda tanya mengenai peluang mereka mempertahankan status sebagai antara beregu terbaik dunia.

Bagaimanapun, Nova masih belum mahu mengibarkan bendera putih dan berharap Ee Wei mampu pulih lebih awal daripada jangkaan.

Katanya, beliau masih menyimpan harapan pasangan Tang Jie dan Ee Wei sempat disatukan semula bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos depan.

“Belum tahu berapa lama Ee Wei perlu berehat tetapi kita harap dia akan pulih dengan segera.

“Memang perlu mengharapkan keajaiban kerana mereka mungkin tidak boleh ke Kejohanan Dunia jika Ee Wei masih cedera,” katanya.

Buat masa ini, tumpuan penuh akan diberikan kepada gandingan sementara Tang Jie dan Clarissa dengan sasaran memberikan pendedahan di pentas tertinggi, selain memastikan kekuatan beregu campuran negara terus kekal kompetitif sepanjang ketiadaan Ee Wei.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top