Bukti komitmen pada rakyat, alam sekitar

Bukti komitmen pada rakyat, alam sekitar



am@hmetro.com.my

Putrajaya: Dalam menongkah usianya berbakti kepada masyarakat, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dikenali sebagai syarikat yang sentiasa mendahului dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, mengorak langkah lebih jauh dan kini tampil dengan berwajah baharu.

Anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) itu menampilkan pelancaran jentera pengurusan sisa pepejal yang dipertingkatkan, pakaian seragam kakitangan dan kontraktor yang direka semula serta penggunaan Super-App dikenali Recyclink.

Ia sebagai sebahagian komitmen berterusan syarikat meningkatkan kecekapan operasi, keselamatan, penerapan teknologi terkini dan amalan lestari.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Badrulhisyam Fauzi berkata, semua inisiatif terbabit adalah khusus untuk memartabatkan profesionalisme industri pengurusan sisa pepejal dan pengurusan alam sekitar di negara ini.

Katanya, ia secara langsung akan meningkatkan kecekapan operasi Alam Flora dan mempromosikan kelestarian alam sekitar dalam setiap aspek operasi.

“Kami melabur anggaran RM160 juta bagi jentera baharu yang diperkenalkan hari ini, dilengkapi teknologi terkini memenuhi piawaian alam sekitar global, termasuk enjin generasi terkini yang mengurangkan pelepasan gas berbahaya.

“Ini adalah komitmen kami untuk melabur dalam jentera yang lebih moden, sekali gus memastikan kami dapat menyampaikan khidmat dengan lebih berkesan.

“Peningkatan ini bukan sahaja membantu dalam memelihara alam sekitar, tetapi juga meningkatkan kecekapan operasi kami dalam menguruskan sisa pepejal dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Alam Flora Wajah Baharu di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Alam Flora Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah Alam Flora merangkap Naib Pengerusi Eksekutif Malakoff Corporation Berhad Tan Sri Che Khalid Mohamad Noh.

Badrulhisyam berkata, pakaian seragam baharu diperkenalkan adalah bukti komitmen syarikat memastikan keselamatan dan profesionalisme lebih tinggi dalam kalangan pekerjanya yang bekerja dalam kategori pekerjaan 3D (kotor, bahaya, sukar).

Jelasnya, seragam baharu itu juga melambangkan komitmen syarikat untuk memartabatkan status rakan pekerja sebagai wira tidak didendang dan mencerminkan penghargaan ke atas dedikasi mereka dalam memastikan komuniti bersih dan selamat.

Direka dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan, pakaian seragam terbabit akan membantu pekerja menjalankan tugas dengan lebih selamat dan berkesan.

“Kami juga berbangga memperkenalkan aplikasi digital Recyclink, yang merupakan langkah inovatif pendigitalan untuk aktiviti kitar semula dan kelestarian alam.

“Aplikasi ini akan mempertingkatkan interaksi dengan pelanggan atas talian serta memudahkan lagi orang ramai untuk menjalankan aktiviti kitar semula secara tanpa tunai beserta mata ganjaran selain dapat mengurangkan penggunaan kertas secara fizikal,” katanya.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, penampilan wajah baharu baharu Alam Flora selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 yang mana ia bertujuan menjadikan bandar dan penempatan lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.

Katanya, dengan asipirasi baharu itu, Alam Flora kini mengorak langkah positif menerusi transformasi dalam menaik taraf penyelesaian pengurusan sisa pepejal dan pengurusan alam sekitar yang lebih menyeluruh, cekap dan setanding dengan piawaian antarabangsa.

“Saya percaya, selain dari pakaian seragam yang baharu dengan piawaian lebih selamat, transformasi ini bukan sahaja menguntungkan orang ramai dengan peningkatan dari segi mutu perkhidmatan, tetapi juga alam sekitar kita dengan penggunaan jentera terkini yang enjinnya lebih mesra alam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top