Grantham, United Kingdom: Seorang lelaki yang lumpuh selepas terjatuh dari tangga di rumahnya menghabiskan sebahagian besar daripada tempoh lima tahun lalu terkurung di dalam sebuah bilik, lapor Mirror.
Kejadian pada April 2021 itu berlaku di rumahnya di Grantham apabila Jonathan Hammocks, 53, terjatuh dari tangga menyebabkan kepalanya terhentak.
Insiden itu menyebabkan dia mengalami kecederaan saraf tunjang di bahagian leher yang mengakibatkannya lumpuh dari paras leher ke bawah dan memerlukan penjagaan rapi selama 24 jam.
Kecederaan itu turut menyebabkan kehilangan fungsi pundi kencing dan usus selain menanggung kesakitan saraf kronik di kedua-dua belah lengan.
Selepas enam minggu dirawat di hospital dan menjalani pemulihan selama enam bulan, dia tidak dapat kembali ke kediaman asalnya kerana struktur rumah berkenaan yang terletak di tingkat atas.
Akibat kekangan dana yang diperuntukkan, dia ditempatkan di sebuah rumah penjagaan demensia dan terpaksa dikejarkan ke hospital sebanyak enam kali dalam tempoh tiga bulan akibat masalah tiub kencing (kateter).
Dia kemudiannya dipindahkan ke sebuah fasiliti penjagaan kompleks selama tiga tahun, namun pergerakannya amat terhad dan hanya dibenarkan keluar selama dua jam seminggu bersama ahli terapi cara kerja.
Persatuan Kecederaan Saraf Tunjang memaklumkan ketidakseimbangan peruntukan dana mengikut kawasan atau ‘loteri poskod’ ketika ini mendatangkan kesengsaraan serta menjejaskan keselamatan fizikal pesakit saraf tunjang.
Bagaimanapun, nasibnya mula berubah selepas dia berjaya mendapatkan dana yang diperlukan untuk menggaji penjaga peribadi yang tinggal bersamanya sekali gus membolehkannya berpindah ke rumah sendiri.
Katanya, kehidupan di rumah sendiri mengurangkan beban yang ditanggung selama ini selain memberi kebebasan penuh untuk meluangkan masa bersama anak perempuannya di luar persekitaran klinikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd





