Arlington: Kempen Piala Dunia Korea Selatan yang penuh turun naik akhirnya berakhir di peringkat kumpulan selepas keputusan perlawanan lain tidak memihak kepada mereka semalam.
Pasukan kendalian Hong Myung bo itu sekadar menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan A di belakang tuan rumah bersama Mexico dan Afrika Selatan, sekali gus gagal melangkah ke pusingan 32 terbaik.
Skuad Korea Selatan sebenarnya berpeluang cerah untuk mara ke pusingan kalah mati, namun tewas mengejut 1-0 kepada Afrika Selatan yang berada di ranking lebih rendah pada aksi penting.
Kekalahan itu menambah tekanan selepas mereka turut tunduk 1-0 kepada Mexico, meskipun sempat membuka kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Republik Czech.
Persembahan tidak konsisten itu menyaksikan mereka terpaksa bergantung kepada keputusan kumpulan lain untuk mara sebagai antara lapan pasukan tempat ketiga terbaik, namun harapan tersebut musnah selepas keputusan pada Sabtu tidak memihak kepada mereka.
Kejohanan Korea Selatan turut dicemari beberapa isu luar padang termasuk pertikaian dalam kem pasukan serta insiden dron yang mengganggu sesi latihan penting menjelang perlawanan menentang Mexico.
Kapten veteran Son Heung min, 33, kini mungkin menamatkan penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia selepas kempen mengecewakan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





