Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi wanita warga asing

Imigresen tumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi wanita warga asing


harisfadli@hmetro.com.my

Klang: Kelicikan seorang wanita warga asing menjalankan perniagaan pemalsuan dokumen dan cap imigresen sejak tiga tahun lalu akhirnya terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan Ops Serkap di sini, semalam.

Timbalan Pengarah (Kawalan) Imigresen Selangor, Mohamad Khusairi Kamarudin berkata, wanita itu yang disyaki dalang utama sindiket adalah pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang iaitu visa sebagai pasangan warga tempatan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyasarkan warga asing dari luar negara sebagai pelanggan. Pelanggan akan dibawa masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka kemudian ditempatkan di sebuah rumah transit di sekitar Klang selama tempoh satu hingga dua minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepanjang di rumah transit, suspek akan menyediakan pelbagai dokumen tiruan termasuk rekod perjalanan palsu bagi menggambarkan seolah-olah pelanggan mereka memiliki sejarah perjalanan yang kukuh.

Katanya, selain itu sindiket terbabit turut memalsukan rekod pekerjaan di Malaysia dan menyediakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang palsu.

“Dalam operasi ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 11 warga asing dari India, Bangladesh dan Sri Lanka yang disyaki terbabit dengan sindiket itu.

“Keseluruhannya, 12 warga asing ditahan di dua lokasi berasingan berusia antara 25 hingga 40 tahun. Dalang sindiket disiasat mengikut Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 manakala selebihnya disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.

Mohamad Khusairi berkata, siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian sindiket terbabit dan kemungkinan pembabitan dari dalam dan luar negara.

Katanya, JIM Selangor memberi amaran tegas bahawa sebarang aktiviti pemalsuan dokumen, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta cubaan mendapatkan visa menggunakan dokumen palsu adalah kesalahan serius di bawah undang-undang negara.

Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan keselamatan negara serta memelihara integriti sistem imigresen Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top