FIFA larang Merlin si itik masuk stadium

FIFA larang Merlin si itik masuk stadium


PERSEKUTUAN Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengharamkan seekor itik peliharaan popular dari Mexico, dikenali sebagai Merlin daripada memasuki stadium untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2026 di Estadio Azteca.

Larangan itu sudah dikuatkuasakan pada perlawanan Kumpulan A antara Mexico dan Republik Czech pada 25 Jun, susulan peraturan badan induk bola sepak dunia itu yang tidak membenarkan sebarang haiwan dibawa masuk ke dalam venue atas faktor keselamatan serta kesihatan.

Kelibat Merlin tidak akan dapat disaksikan dalam stadium apabila Mexico beraksi di pusingan kalah mati pada Rabu nanti.

Perkara itu disahkan oleh wakil jawatankuasa penganjur kejohanan.

Merlin, itik berusia dua tahun itu sebelum ini menjadi tular selepas gambar haiwan berkenaan yang memakai jersi pasukan kebangsaan Mexico dilihat berkeliaran di sekitar Mexico City.

Keletah Merlin menarik perhatian orang ramai termasuk pelancong dan penyokong yang tidak melepaskan peluang merakam gambar serta video bersama haiwan tersebut, sekali gus menjadikannya fenomena media sosial.

Malah, Merlin turut dijemput ke Istana Negara bertemu Presiden Claudia Sheinbaum baru-baru ini.

Pemiliknya, Carla Gomez percaya Merlin membawa tuah kepada skuad kebangsaan Mexico sepanjang kejohanan berkenaan.

Sebelum ini, Merlin pernah dibenarkan berada di kawasan luar stadium untuk sesi penggambaran sebuah program televisyen.

Carla mengakui terkejut dengan populariti mendadak haiwan peliharaannya itu yang kini dianggap ramai sebagai maskot tidak rasmi Mexico di Piala Dunia 2026.



Source link

OR

Scroll to Top