am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 disifatkan sebagai tawaran yang realistik dan ‘pro’ orang muda kerana memberi tumpuan kepada keperluan sebenar golongan berkenaan.
Ketua Pemuda BN Johor, Noor Azleen Ambros berkata, manifesto yang dilancarkan Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi itu bukan sekadar menawarkan janji manis, sebaliknya mengandungi komitmen yang mampu dilaksanakan.
“Manifesto ini bukan janji bulan dan bintang. Itu yang paling mustahak. Kita bukan macam pihak di sebelah sana (parti lawan).
“Apa yang kita tawarkan adalah sesuatu yang realistik serta benar-benar menepati kehendak dan harapan orang muda di Johor,” katanya menerusi perkongsian video di Facebooknya hari ini.
Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor berkata, fokus utama manifesto itu ialah memastikan golongan muda mendapat peluang pendidikan yang lebih baik, pekerjaan berkualiti dan bantuan memiliki rumah pertama.
Menurutnya, pendidikan diberi keutamaan kerana ia menjadi asas kepada masa depan anak muda, termasuk menerusi pengukuhan bantuan kepada mahasiswa, bantuan komputer riba serta peluang penyertaan golongan muda dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, BN juga memahami cabaran graduan mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
“Anak muda bukan sekadar mahukan pekerjaan, tetapi pekerjaan berkualiti yang menawarkan gaji premium dan bermaruah.
“Sehubungan itu, sasaran mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan baharu dengan gaji permulaan sekurang-kurangnya RM4,000 adalah realistik, selaras dengan usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.
Noor Azleen berkata, BN turut memberi perhatian kepada isu pemilikan rumah dalam kalangan orang muda menerusi pelbagai bentuk bantuan bagi memudahkan mereka memiliki kediaman sendiri.
Katanya, bantuan deposit rumah pertama, bantuan masuk rumah serta bantuan sewa rumah membuktikan kerajaan negeri memahami keperluan sebenar golongan itu.
“Apabila pendidikan, pekerjaan dan pemilikan rumah diberi perhatian secara menyeluruh, ia membuktikan BN benar-benar pro orang muda dan komited membantu mereka membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Onn Hafiz Ghazi melancarkan Manifesto BN Johor bertemakan ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’ yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor.
Antara tawaran kepada golongan muda ialah memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor bernilai RM100 juta, meneruskan insentif mahasiswa termasuk bantuan komputer riba serta memperluaskan penyertaan orang muda dalam PBT.
Manifesto itu turut menawarkan pewujudan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti, skim bantuan deposit dan pemilikan rumah pertama, bantuan masuk rumah serta bantuan sewa rumah bagi membantu lebih ramai anak Johor membina kehidupan yang lebih stabil.
© New Straits Times Press (M) Bhd






