Soalan:
Ketika menggali kubur sebab mahu tanam mayat yang baru telah dijumpai tulang mayat yang dulu. Adakah boleh kita tanam mayat yang baru di situ bersama tulang yang lama itu?
Jawapan:
Jika belum selesai menggali lubang kubur dan dijumpai tulang dari mayat yang lama maka wajib ditutup semula kubur tersebut dengan tanah dan hendaklah digali di tempat yang lain.
Adapun jika sudah selesai menggalinya lalu didapati ada tulang yang lama maka harus ditanam mayat yang baru di situ dan hendaklah dihimpunkan tulang yang lama itu dan diletak di tepinya.
Berkata Syeikh Abu Bakar Ad-Dimyathi:
(قوله وَلَوْ وُجِدَ بَعْضُ عَظْمِهِ) أَيِ الْمَيِّتِ الَّذِيْ فِي الْقَبْرِ (وقوله قَبْلَ تَمَامَ الْحَفْرِ) أَيْ قَبْلَ أَنْ يَكْمُلَ حَفْرُ الْقَبْرِ (قوله وَجَبَ رَدُّ تُرَابِهِ) أَيْ وَيَحْرُمُ تَكْمِيْلُ الْحَفْرِ وَالدَّفْنِ فِيْهِ لِمَا يَلْزَمُ عَلَيْهِ مِنَ اْلإِدْخَالِ الْمُحَرَّمِ وَهَذَا إِذَا لَمْ يُحْتَجْ إِلَى الدَّفْنِ فِي ذَلِكَ الْقَبْرِ بِأَنْ كَثُرَ الْمَوْتَى وَإِلاَّ فَلاَ بَأْسَ بِذَلِكَ (قوله أَوْ بَعْدَهُ) أَيْ أَوْ وُجِدَ عَظْمُهُ بَعْدَ تَمَامِ الْحَفْرِ فَلاَ يَجِبُ رَدُّ التُّرَابِ (قوله وَيَجُوْزُ الدَّفْنُ مَعَهُ) أَيْ مَعَ الْعَظْمِ لَكِنْ بَعْدَ تَنْحِيَتِهِ عَنْ مَحَلِّهِ اهـ : إعانة الطالبين
Ertinya: “Dan kalau dijumpai sebahagian tulang mayat di dalam kubur sebelum sempurna gali maka wajib kambus semula tanah dan haram meneruskan penggalian dan haram tanam mayat padanya kerana dikhuatiri memasukkan yang haram. Ini pada keadaan bukan darurah yang menjadikan terpaksa gali di situ sebab terlalu banyak mayat, maka jika pada ketika darurah tidaklah mengapa. Dan kalau menjumpai tulang itu setelah selesai gali maka tidaklah wajib kambus semula tanah dan harus tanam di situ dan alih dari tempat tulang yang lama itu.” (Kitab I’anah At-Talibin)
Maksudnya jika belum selesai gali lalu didapati ada tulang mayat yang terdahulu, maka wajib kambus semula dan gali kubur yang lain untuk menanam mayat yang baru.
Jika sudah selesai gali baru jumpa tulang mayat yang lama maka harus tanam mayat baru di situ tetapi hendaklah dialihkan dulu tulang yang lama ke tepi.
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 30/6/2026
Related









