Bukan lubuk duit, Yusof Haslam teruskan Gerak Khas demi minat

Bukan lubuk duit, Yusof Haslam teruskan Gerak Khas demi minat


mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam menafikan mempunyai ‘kabel’ tertentu dalam memasarkan drama terbitannya, Gerak Khas, yang kini sudah pun berusia 20 tahun.

Yusof, 72, berkata, dia sering diusik dengan dakwaan sedemikian oleh rakan-rakan industri berikutan keupayaan Gerak Khas beralih stesen penyiar, bermula dari RTM ke TV3, dan kini bakal bersiaran menerusi TV Sarawak (TVS).

“Kabel apa? Kau ingat TVS itu bapak aku punya kah? Macam dulu juga RTM. Kenapa kau tak habis-habis itu? Lillahitaala tak ada kabel,” katanya secara bergurau semasa berucap pada sidang media Gerak Khas 2.0, di sini, hari ini.

Drama 26 episod terbitan Sarawak Media Group (SMG) dan Skop Productions ini dijadualkan mula ditayangkan secara rasmi di TVS bermula 3 Julai ini.

Menurut Yusof, biarpun barisan Menteri Penyiaran dan Ketua Polis Negara bersilih ganti, drama ikonik ini tetap menjadi pilihan penonton sehingga kini berjaya mencecah 1,054 Episod.

“Ada menteri yang pernah kata nak tamatkan drama ini di RTM, tapi orang kuat di RTM beritahu drama ini dapat rating utama di RTM dan ia kena kekalkan.

“Nasib baiklah Tuhan bagi saya tenaga untuk terus berjuang kan. Anak-anak saya pun ‘support’ (menyokong). Syafiq pun support. Anak-anak di belakang saya, support,” katanya.

Berkongsi lanjut, Yusof mendedahkan dia pernah meminta anaknya yang juga pengarah terkenal, Syafiq untuk mengemudikan drama berkenaan namun ditolak.

“Saya suruh Syafiq buat Gerak Khas dan dia kata dia penatlah. Saya tanya sebab apa? Saya pun buat filem dulu dan Gerak Khas. Macam mana? Fikirlah.

“Dia kata tak boleh. Dia nak fokus ke filem saja. Jadi kata mak dia (Datin Patimah), Yus jangan kacau orang lain. Biar mereka fokus ke filem. Nanti idea habis. Filem lagi nak buat, drama nak buat. Jadi saya biarkan dia buat filem. Bapak dia yang tua ini buat drama lah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yusof turut memaklumkan bahawa penghasilan drama kepolisan itu sebenarnya tidak memberikan keuntungan yang besar dari sudut perniagaan.

“Tapi jiwa saya membara untuk teruskan perjuangan untuk tatapan masyarakat Malaysia, untuk menaikkan imej PDRM sendiri. Ada yang tanya kenapa dalamnya saya tak fokuskan cerita penyiasatan sahaja?

“Saya tahu kalau saya buat penyiasatan saja orang akan bosan. Itu sebabnya kita masukkan elemen keluarga, masalah-masalah dalaman yang mereka hadapi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top