Terbuka Malaysia kekal pembuka tirai Jelajah Dunia BWF 2027

Terbuka Malaysia kekal pembuka tirai Jelajah Dunia BWF 2027


PERSEKUTUAN Badminton Dunia (BWF) hari ini mengumumkan kalendar Jelajah Dunia bagi musim 2027-2028, dengan Terbuka Malaysia kekal sebagai kejohanan pembuka tirai pada tahun depan.

BWF dalam kenyataan memaklumkan, Terbuka Malaysia yang merupakan antara lima kejohanan Super 1000 akan berlangsung selama 11 hari dari 21 hingga 31 Januari 2027 berbanding hanya enam hari sebelum ini.

“Kalendar itu berlangsung sepanjang tahun dari Januari hingga Disember. Di peringkat tertinggi, saingan ini diterajui oleh lima kejohanan Super 1000 di Asia dan Eropah, yang masing-masing berlangsung selama 11 hari merangkumi dua hujung minggu.

“Format pertandingan menampilkan saingan perseorangan membabitkan 48 pemain yang dimulakan dengan peringkat kumpulan sebelum diikuti pusingan kalah mati, selain acara beregu merangkumi 32 pasangan secara kalah mati. Kesemua 1,095 perlawanan daripada kejohanan Super 1000 ini akan disiarkan ke seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, BWF memaklumkan Terbuka Malaysia tidak lagi menjadi kejohanan pembuka tirai musim 2028 apabila dijadualkan sebagai kejohanan keempat dalam Jelajah Dunia yang berlangsung dari 3 hingga 13 Februari.

Bagi Malaysia Masters (Super 500), BWF memaklumkan edisi tahun depan akan berlangsung dari 17 hingga 22 Ogos, manakala edisi 2028 dijadualkan berlangsung dari 6 hingga 11 Jun.

Malaysia S100 (Super 100) pula akan berlangsung dari 19 hingga 24 Oktober tahun depan dan dari 17 hingga 22 Oktober pada 2028.

Sementara itu, BWF mengesahkan tempoh kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 akan berlangsung dari 3 Mei 2027 hingga 30 April 2028.

“Tarikh dan bandar tuan rumah bagi pusingan akhir Piala Sudirman 2027, Kejohanan Dunia 2027 serta pusingan akhir Piala Thomas dan Piala Uber 2028 akan diumumkan secara berasingan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden BWF, Khunying Patama Leeswadtrakul berkata kalendar 2027-2028 mencerminkan komitmen badan induk itu terhadap kebajikan pemain serta pembangunan jangka panjang sukan badminton.

“Pemain adalah teras kepada segala yang kami lakukan. Sebagai duta global dan ikon sukan ini, pemain berhak menikmati persekitaran yang membolehkan mereka mempamerkan prestasi terbaik, menjalani proses pemulihan dengan sempurna serta berinteraksi secara bermakna dengan peminat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Semua kejohanan dalam kalendar 2027-2028 akan menggunakan sistem pemarkahan baharu 3×15 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang BWF untuk memodenkan format pertandingan serta meningkatkan persembahan sukan itu di peringkat global. – Bernama 



Source link

OR

Scroll to Top