Boston: Penyingkiran mengejut Jerman pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia 2026 akan mencetuskan perubahan, kata persatuan bola sepak negara itu, sehari selepas juara dunia empat kali itu tersingkir awal buat kali ketiga berturut-turut.
Jerman yang tersingkir di peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2018 dan 2022, tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Paraguay yang dianggap bukan pilihan dan kini gagal memenangi perlawanan kalah mati dalam kejohanan itu sejak kali terakhir menjulang gelaran di Brazil pada 2014.
“Beberapa hari akan datang kami akan meneliti punca pasukan gagal merealisasikan potensi dan gagal memenuhi jangkaan sendiri serta jangkaan komuniti bola sepak Jerman,” kata Presiden DFB, Bernd Neuendorf dalam satu kenyataan.
“Selepas tamparan yang begitu hebat, kami tidak boleh dan tidak akan kembali menjalankan tugas seperti biasa ketika kami melihat kepada tugasan yang menanti,” katanya lagi.
Neuendorf memegang jawatan sejak 2022 dan menyaksikan pasukan kebangsaan itu tersingkir awal daripada dua Piala Dunia, selain gagal mara melepasi suku akhir Euro 2024 yang berlangsung di Jerman.
Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann yang mengambil alih pasukan pada September 2023 dan mempunyai kontrak sehingga 2028, berkata selepas penyingkiran mereka bahawa beliau mahu terus kekal, tetapi keputusan itu bukan lagi berada di tangannya.
Penyokong dan pengulas televisyen di Jerman mempersoalkan sama ada Nagelsmann menjadi jurulatih termuda pada usia 38 tahun dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia bagi tempoh 40 tahun, patut diberi satu lagi peluang.
“Selepas kekalahan pahit kepada Paraguay dan penyingkiran kami daripada Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico, saya mengadakan pertemuan panjang semalam dengan jurulatih pasukan kebangsaan, Julian Nagelsmann dan barisan kepimpinan sukan termasuk (pengarah pasukan kebangsaan) Rudi Voeller.
“Kami bersetuju bahawa prestasi kami di Piala Dunia tidak mencapai standard yang kami tetapkan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang memberikan sokongan luar biasa, sama ada di Amerika Syarikat dan Kanada mahupun di tanah air. Kami semua amat kecewa kerana perjalanan kami berakhir terlalu awal,” kata Neuendorf.
© New Straits Times Press (M) Bhd





