hafidzul@hmetro.com.my
Putrajaya: Hanya 54 peratus pegawai daripada enam agensi teras bersetuju untuk menyertai Skim Perkhidmatan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang mula dikuatkuasakan secara rasmi hari ini.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, skim baharu berkenaan menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk kenaikan dua tangga gaji, bayaran insentif perkhidmatan RM200 sebulan serta kadar tuntutan elaun lebih masa (OT) yang lebih tinggi susulan lonjakan gaji pokok pegawai.
“Daripada kayu pengukur tawaran kerajaan, saya tidak nampak sebab kenapa ia tidak mahu diterima kerana ianya jauh lebih baik daripada apa yang sedang mereka kecapi hari ini.
“Ia membabitkan dua tangga gaji. Maksudnya kalau bekerja hingga umur 60 tahun, boleh dapat kadar gaji sehingga umur 62 tahun sebagai contoh. Ini kali pertama dalam sejarah skim perpindahan seumpama ini ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menunjukkan kesungguhan kerajaan mewujudkan agensi tunggal sempadan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan AKPS di Kompleks Seri Setia, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai punca baki 46 peratus pegawai memilih untuk menolak tawaran berkenaan, Mohd Shuhaily tidak menolak kemungkinan faktor ketegasan aspek disiplin serta pembudayaan integriti tinggi di bawah kepimpinannya menjadi punca utama.
“Mungkin juga faktor lain yang lebih bersifat peribadi seperti nilai sentimental dan kesetiaan terhadap agensi lama masing-masing turut mempengaruhi keputusan sebahagian pegawai terbabit.
“Sehingga Jun lalu, sebanyak 6,824 jawatan daripada keseluruhan 8,403 jawatan yang diperuntukkan kepada AKPS berjaya diisi, “katanya.
Mengulas mengenai sama ada baki kekosongan jawatan itu akan dibuka kepada orang awam, Mohd Shuhaily berkata, keputusan dasar berkenaan tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan kerajaan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Katanya, pengambilan terus orang awam secara teknikalnya akan memberi implikasi kewangan dan bebanan tambahan kepada kerajaan berikutan berlakunya pertindihan jawatan sedia ada di agensi asal pegawai terbabit.
“Kerajaan akan membuat keputusan dasar mengenai bagaimana mereka harus menambah kekuatan dalam AKPS.
“Buat masa ini, sebanyak 412 jawatan baharu terpaksa ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan JPA ekoran kewujudan pintu masuk baharu di Sistem Transit Pantas (RTS) yang tiada dalam jadual asal, “katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






