KLANG: Platform pengedaran B2B, Ninja Mart mahu memperkukuh peranan kedai runcit kejiranan menerusi gabungan sokongan logistik, alat digital dan bantuan fizikal di lapangan.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu peruncit tradisional mengurus operasi harian dengan lebih cekap, terutama ketika landskap peruncitan negara semakin kompetitif susulan pertumbuhan runcit moden, kedai serbaneka dan e-dagang.
Ketua Negara Ninja Mart Malaysia, Denise Ang berkata, masa depan perdagangan umum bergantung kepada penyelesaian praktikal yang memahami cara operasi sebenar peruncit tradisional.
“Masa depan perdagangan umum bergantung kepada penyelesaian praktikal yang benar-benar memahami cara operasi peruncit tradisional.
“Pengusaha kedai runcit bukan sekadar peniaga, tetapi sebahagian daripada komuniti yang mereka khidmati, dengan pemahaman mendalam tentang keperluan harian pelanggan mereka,” katanya pada sesi media Ninja Mart di Al-Amin Fresh Mart, Kampung Kuantan di sini, semalam.
Melalui platform itu, Ninja Mart menghubungkan jenama dan pembekal kepada rangkaian peruncit melibatkan perdagangan umum, runcit moden, kedai stesen minyak serta saluran hotel, restoran dan kafe (HORECA).
Model tersebut menggabungkan pesanan berasaskan aplikasi, liputan pasukan jualan, sokongan logistik dan bantuan di lapangan untuk membantu jenama mencapai peruncit dengan lebih berkesan.
Ninja Mart ketika ini menyokong lebih 16,000 outlet peruncitan aktif, sekali gus membantu peruncit dalam proses pesanan produk, penyelarasan penghantaran, pertanyaan pesanan, pemulangan, tuntutan serta sokongan operasi kedai.
Ang berkata, berdasarkan laporan Bain-NIQ 2025 mengenai tingkah laku pengguna dan pembeli mendapati 42 peratus pengguna membeli jenama sama ketika promosi, 33 peratus membeli lebih sedikit secara keseluruhan, 27 peratus hanya membeli barangan keperluan dan 25 peratus beralih kepada jenama lebih berbaloi.
Keadaan itu katanya, menunjukkan kedai runcit kejiranan kekal relevan kerana pengguna masih mencari akses barangan harian yang dekat, dipercayai dan mudah dicapai.
Dalam masa sama, katanya, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan jualan runcit sebanyak RM71 bilion pada April 2026, meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun, merangkumi pelbagai format runcit pengguna termasuk pasar raya besar, pasar mini dan kedai serbaneka.
Denise berkata, sokongan kepada perdagangan umum perlu memberi manfaat kepada dua pihak iaitu jenama dan peruncit, khususnya dalam memastikan capaian yang konsisten, efisien dan lebih telus.
Katanya, keperluan utama adalah proses pesanan yang lebih mudah, sokongan yang boleh dipercayai, akses kepada produk relevan serta bantuan mengurus operasi harian kedai.
“Bagi jenama, cabarannya bukan sekadar mencapai lebih banyak kedai, tetapi memastikan capaian yang konsisten, efisien dan lebih telus.
“Bagi peruncit pula, keperluan lebih bersifat praktikal iaitu proses pesanan yang lebih mudah, sokongan yang boleh dipercayai, akses kepada produk relevan dan bantuan dalam pengurusan operasi harian kedai,” katanya. – UTUSAN






