hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki dipercayai pitam sebelum hilang imbangan dan terjatuh ke landasan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Hang Tuah Laluan Ampang/Sri Petaling di sini, hari ini.
Dalam kejadian 6.36 petang itu, penumpang berkenaan berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan dengan selamat.
Rapid KL dalam kenyataan berkata, anggota Polis Bantuan yang bertugas di platform bertindak pantas memberikan bantuan awal kepada penumpang berkenaan.
Katanya, pada masa sama, bekalan kuasa ke landasan dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan bagi membolehkan pasukan operasi melaksanakan kerja menyelamat.
“Penumpang berkenaan berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan dengan selamat sebelum diberikan rawatan awal di bilik kecemasan stesen.
“Selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan dan landasan disahkan selamat untuk beroperasi, perkhidmatan tren di Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi seperti biasa pada 6.52 petang,” kata kenyataan itu, malam ini.
Menurutnya, Rapid KL sentiasa mengutamakan aspek keselamatan penumpang dan orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan di stesen.
Katanya, ia termasuk berada di belakang garisan keselamatan ketika menunggu tren serta tidak memasuki kawasan landasan.
“Rapid KL turut menasihatkan mana-mana penumpang yang berasa kurang sihat, pening atau tidak selesa ketika berada di stesen supaya segera mendapatkan bantuan daripada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan yang bertugas bagi membolehkan bantuan diberikan dengan segera,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan seorang penumpang terjatuh ke landasan di Stesen LRT Hang Tuah tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd





