Kansas City: Pengendali Colombia, Nestor Lorenzo mengakui beliau masih menerima pesanan berterusan daripada ibunya yang berusia 89 tahun menjelang aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia menentang Ghana, sambil menyifatkan nasihat itu sebagai rutin yang tidak pernah berubah.
Lorenzo secara berseloroh berkata, ibunya sentiasa memberi peringatan sama sebelum setiap cabaran besar, sama seperti dirinya yang sering mengulang penekanan taktikal kepada pemain selepas setiap perlawanan.
“Nasihat seorang ibu sentiasa sama. Ibu tidak pernah jemu mengulang perkara yang sama,” katanya kepada pemberita.
“Ini sama seperti kami dengan pemain. Pemain sudah kenal saya; apabila melihat sesuatu situasi di padang, mereka akan kata ‘Oh, kalau jurulatih nampak itu…’ kerana kami sentiasa fokus kepada perkara yang sama.
“Ibu saya juga begitu. Dia tidak memberi arahan khusus untuk perlawanan ini, tetapi sentiasa mengikuti dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Menjelang pertemuan dengan Ghana, Lorenzo menyifatkan lawan dari Afrika itu sebagai pasukan yang berdisiplin serta berbahaya dalam situasi tertentu.
Beliau berkata, Ghana mempunyai kemampuan untuk sama ada bertahan secara rendah atau menyerang secara mengejut, sekali gus memerlukan Colombia lebih berhati-hati.
“Saya tidak pasti sama ada Ghana akan bermain secara bertahan. Mungkin mereka mahu mengejutkan kami atau menyerang habis-habisan,” katanya.
Colombia mara ke pusingan kalah mati selepas muncul juara Kumpulan K dengan kemenangan ke atas Uzbekistan dan Republik Demokratik Congo, selain seri tanpa jaringan menentang Portugal.
Lorenzo memuji disiplin taktikal pasukannya, namun mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam aspek penyudah.
Beliau turut menegaskan saingan Piala Dunia kali ini amat seimbang apabila beberapa pasukan pilihan tersingkir lebih awal.
“Perasaan saya ialah pertandingan ini sangat seimbang dan sesiapa sahaja boleh menjadi juara,” katanya.
“Selain bermain dengan baik, anda juga perlukan sedikit keberkesanan dan tuah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






