khairil.ashraf@hmetro.com.my
Sembrong: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan perkara atau tawaran yang dibentangkan oleh Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada pengundi hari ini bukannya manifesto.
Bekas Naib Presiden UMNO itu berkata, apa yang diumumkan hanyalah meningkatkan angka program sedia ada yang sudah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Banyak perkara yang dibentangkan dalam manifesto mereka cuma meningkatkan angka program yang sedia ada oleh kerajaan negeri hari ini.
“Daripada berapa puluh ribu rumah ke apa, dia tambah sahaja. Itu bukan manifesto. Manifesto adalah polisi dan dasar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Warga Asli Kahang di Pekan Kahang, hari ini.
Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, V Rugendran.
PH hari ini melancarkan manifesto ‘Johor Untuk Semua’ sebagai tawaran gabungan itu kepada pengundi sempena PRN Johor ke-16.
Antara teras utama tawaran berkenaan ialah Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
Bagi tawaran perumahan, sebanyak 80,000 unit Rumah Mampu Milik akan dibina dalam tempoh lima tahun dengan sasaran 16,000 unit setahun selain mempergiat projek Rumah Generasi Kedua FELDA dengan keutamaan kepada keluarga muda dan pekerja tempatan
Selain itu, bantuan deposit sebanyak RM8,000 bagi pemilikan rumah pertama melalui skim sewa milik (rent-to-own) juga akan disediakan dengan sasaran 50,000 keluarga muda akan menerima manfaat.
Hishammuddin turut menempelak PH yang menggunakan dasar BN dengan menokok tambah serta memasukkan ia sebagai janji pilihan raya mereka.
Beliau turut tidak pasti sama ada janji yang dikemukakan oleh PH itu akan ditunaikan atau tidak.
“Wallahualam, sama ada ia akan ditunaikan atau tidak. Itu bukan manifesto bagi saya.
“Tapi saya kena kajilah (manifesto dibentangkan oleh PH) lebih teliti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






