Mengenang magis Weigang bersama The Bos Gaurus

Mengenang magis Weigang bersama The Bos Gaurus


LEGASI mendiang Karl-Heinz Weigang yang cukup sinonim dengan bola sepak Perak terus dikenang.

Mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, Perak memiliki sejarah bola sepak yang cukup panjang sebagai antara persatuan bola sepak tertua di negara ini serta negeri pertama menjulang Piala Malaysia, namun banyak kisah bersejarah masih belum didokumentasikan dengan baik.

Beliau berkata, usaha membukukan sejarah sedemikian penting bagi memastikan perjalanan dan sumbangan tokoh-tokoh bola sepak negeri dapat dijadikan rujukan serta sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Mengimbau jasa Weigang, Zainol Fadzi berkata, jurulatih itu yang membimbing Perak sekitar 1997 hingga 2000 sebelum kembali semula pada tahun 2014 dan 2017 berjaya melakar pelbagai kejayaan sehingga namanya terus dianggap sebagai legenda bola sepak negeri.

“Hubungan rapat Weigang dengan bekas pemain berterusan walaupun selepas meninggalkan Perak. Beliau sentiasa mengikuti perkembangan pasukan dan berkongsi pandangan mengenai prestasi skuad.

“Saya masih ingat sampai satu peringkat pada tahun 2014 itu Weigang bagi tahu pasukan Perak boleh diselamatkan lagi daripada tersingkir walaupun tinggal lapan perlawanan lagi,” katanya ketika ditemui pemberita sempena pelancaran buku Karl-Heinz Weigang Kisah di Sebalik Tabir, di Bumi Perak di sini baru-baru ini.

Zainol Fadzi berkata, Weigang yakin mampu memastikan Perak kekal dalam saingan Liga Super sehingga sanggup tidak menerima gaji sepanjang tempoh tiga bulan sekiranya gagal menyelamatkan pasukan daripada penyingkiran.

Menurutnya, keyakinan tinggi yang ditunjukkan jurulatih berpengalaman itu akhirnya berjaya diterjemahkan apabila Perak kekal dalam liga.

Katanya, keistimewaan Weigang bukan hanya terletak pada kebijaksanaan mengendalikan pasukan, malah beliau cukup dekat dengan penyokong apabila sering meluangkan masa bergaul bersama peminat di Ipoh.

Jelasnya beliau, nama Weigang begitu sinonim dengan bola sepak Perak sehingga pernah ditawarkan untuk mengendalikan skuad kebangsaan, namun memilih untuk terus menabur bakti bersama pasukan negeri itu.

Jasa Weigang dikenang peminat apabila kembali semula ke Ipoh pada tahun 2014 dalam misi menyelamatkan pasukan Perak dari terjerumus ke Liga Perdana 2015.

Sentuhan magisnya kembali diperlukan pada 2016 untuk menggantikan Syamsul Saad sebelum tugas membimbing skuad Kejor Yob Kejor itu digalas Mehmed Durokovic pada tahun berikutnya.

Weigang menghembuskan nafas terakhir pada 13 Jun 2017 akibat serangan jantung di Jerman pada usia 81 tahun.

Jurulatih lagenda ini pernah membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik di Moscow, Russia pada 1980 namun pasukan negara menarik diri akibat protes terhadap negara tuan rumah.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top