Kerangka Insentif Pelaburan baharu dilaksana suku ketiga tahun depan

Kerangka Insentif Pelaburan baharu dilaksana suku ketiga tahun depan


KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan baharu yang menumpukan aktiviti bernilai tinggi ketimbang insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu.

Kerangka ini dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata, bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi E&E melalui aktiviti bernilai tambah tinggi seperti perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.

Selain itu, menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI, potongan cukai khas diberikan kepada IPTS yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, FinTech dan teknologi mampan.

Bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem sektor utama, Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan diperkenalkan dengan insentif perbelanjaan perusahaan multinasional (MNE) sehingga RM2 juta setahun diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.

MNE atau pembekalnya yang membuat pelaburan usaha sama dengan pembekal tempatan lain diberi potongan cukai ke atas jumlah pelaburan dibuat.

Pembekal tempatan yang terlibat dalam Ikhtiar ini akan diberi pakej insentif cukai yang bersesuaian berasaskan keberhasilan; dan dana padanan pelaburan lebih RM100 juta disediakan melalui platform pendanaan awam ekuiti untuk pengembangan pembekal tempatan dalam sektor E&E, kimia khusus dan peranti perubatan.

Perkumpulan ekonomi diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terenggan dan bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.

Bagi memastikan pelaburan berlandaskan ESG, galakan cukai seperti elaun cukai pelaburan atau pengecualian cukai pendapatan diberikan bagi aktiviti sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan terus disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara.

Langkah ini termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai RM1 bilion sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan dan menggalakkan aktiviti bernilai tinggi dilaksanakan di negara ini.

Kerajaan juga telah menyatakan kesediaan melaksanakan cukai minimum global (GMT) ke atas syarikat multinasional.

Katanya, meskipun GMT memberi hasil tambahan, masih terdapat risiko negatif terhadap iklim pelaburan.

Dalam mengurangkan kesan GMT, kerajaan komited untuk memperkemas insentif sedia ada, mewujudkan insentif bukan cukai baharu serta mengkaji kebolehlaksanaan Kredit Cukai Pelaburan Strategik.

Bagi memudah cara pelabur strategik, MIDA akan menjadi pihak berkuasa melulus untuk pas penggajian melibatkan graduan bukan warganegara lepasan universiti tempatan bagi memenuhi keperluan modal
insan dalam sektor-sektor Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top