Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) melancarkan kempen Cashback Mai Langkawi – Bayaq Satu, Free Satu! sebagai usaha memperkukuh pelancongan domestik serta menarik lebih ramai rakyat Malaysia menjadikan Langkawi sebagai destinasi percutian pilihan.
Pelancaran kempen itu diadakan bersempena MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026, sekali gus menjadi platform strategik LADA dalam mempromosikan keunikan Langkawi di peringkat nasional.


Menurut LADA, inisiatif berkenaan bertujuan mempertingkatkan aksesibiliti ke pulau peranginan itu, di samping menggalakkan perbelanjaan pelancongan domestik yang lebih mampan serta memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri dan komuniti setempat.
Bermula 1 Ogos hingga 31 Oktober 2026, kempen ini menawarkan dua insentif utama kepada pelancong yang menggunakan laluan laut ke Langkawi.




Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan feri RoRo laluan Kuala Perlis–Langkawi, mereka layak menikmati pulangan tunai sebanyak 50 peratus bagi tambang tiket penumpang apabila membeli tiket pergi dan balik serta menginap sekurang-kurangnya dua malam di Langkawi.

Artikel lanjut: Batu di Langkawi lebih tua daripada dinosaur! Ini sebab pulau legenda ini kekal diiktiraf UNESCO Global Geopark
Selain itu, pengunjung ke Pulau Tuba melalui perkhidmatan bot dan mini feri Bestuba hanya perlu membayar tambang perjalanan pulang, dengan syarat menginap sekurang-kurangnya satu malam di Pulau Tuba, Lubuk Cempedak atau Selat Bagan Nyiur.

LADA memaklumkan, kempen ini dijangka menggalakkan tempoh penginapan yang lebih panjang serta meningkatkan aktiviti ekonomi pelancongan di kawasan berkenaan.
Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama Langkawi Port Sdn. Bhd. (LPSB) dan Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad (KOPTUBAS), yang turut membantu memperluaskan akses serta memperkayakan pengalaman pelancong ke Langkawi.

Dengan membawa mesej “Lebih Jimat • Lebih Berbaloi • Lebih Banyak Pengalaman”, kempen ini mengajak rakyat Malaysia kembali menikmati keindahan Langkawi yang dikenali dengan slogan “Nowhere Like Here”.






