Atlanta: Persatuan Bolasepak Mesir (EFA) mengemukakan aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas mendakwa berlaku kesilapan pengadilan serius yang menyumbang kepada kekalahan 2-3 kepada Argentina dalam aksi pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026, pagi tadi.
EFA turut meminta badan induk bola sepak dunia itu menyiasat barisan pengadil diketuai pengadil Perancis, Francois Letexier selain menggesa keseluruhan pasukan pengadilan berkenaan diketepikan daripada baki saingan kejohanan.
Dalam satu kenyataan, Presiden EFA, Hany Aburida mendakwa terdapat ‘kesilapan pengadilan serius dan layanan berbeza’ yang menyebabkan Mesir tersingkir daripada Piala Dunia.
Kontroversi tercetus apabila gol Mostafa Ziko ketika Mesir mendahului 1-0 dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kekasaran terhadap pemain Argentina, Lisandro Martinez dalam gerakan awal jaringan itu.
Beberapa minit kemudian, Ziko kembali menjaringkan gol untuk meletakkan Mesir mendahului 2-0 dan berada di ambang mencipta sejarah mara ke suku akhir buat kali pertama.
Namun, Argentina bangkit menyamakan kedudukan menerusi Cristian Romero dan Lionel Messi sebelum Enzo Fernandez menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.
Mesir mendakwa mereka sepatutnya diberikan sepakan penalti sebelum jaringan kemenangan Argentina selepas Alexis Mac Allister didakwa menarik Hamdy Fathy dalam gerakan serangan.
EFA turut meminta siasatan dilakukan terhadap keseluruhan pasukan pengadilan termasuk pegawai VAR kerana mendakwa terdapat rakaman tertentu yang tidak disemak walaupun ia dianggap memihak kepada skuad The Pharaohs.
“Presiden EFA menuntut siasatan terhadap seluruh pasukan pengadil termasuk pegawai teknologi video berikutan kesilapan ketara serta keputusan tidak menyemak beberapa rakaman yang kami percaya memberi hak kepada pasukan kebangsaan Mesir untuk mendapat jaringan sah dan sepakan penalti,” menurut kenyataan itu.
Tuntutan berkenaan selari dengan kenyataan jurulatih Mesir, Hossam Hassan selepas perlawanan yang mendakwa pasukannya menjadi mangsa ketidakadilan.
“Saya tidak mahu menyebutnya sebagai nasib malang. Kami telah dilayan secara tidak adil hari ini. Kami tidak melihat rasa hormat atau permainan adil,” katanya.
Hassan turut mendakwa mungkin terdapat faktor luar padang yang mempengaruhi keputusan perlawanan, sambil menyatakan Argentina selaku juara dunia menerima sokongan dalam pelbagai aspek.
© New Straits Times Press (M) Bhd






