Balogun akui kontroversi kad merah jejaskan tumpuan AS

Balogun akui kontroversi kad merah jejaskan tumpuan AS


Washington: Penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun mengakui keputusan menggantung hukuman kad merahnya pada Piala Dunia 2026 selepas campur tangan Presiden, Donald Trump memberi tekanan tambahan kepada skuad negara itu.

Balogun berkata, dia terkejut apabila dilayangkan kad merah selepas terpijak kaki pertahanan Bosnia dan Herzegovina dalam kemenangan 2-0 AS pada aksi peringkat kumpulan.

“Saya memang terkejut. Apabila sesuatu itu tidak disengajakan, ia sepatutnya tidak berakhir dengan kad merah,” katanya dalam temu bual bersama CBS.

Beberapa hari sebelum aksi pusingan 16 terakhir menentang Belgium, badan induk bola sepak dunia, FIFA mengumumkan hukuman gantung akibat kad merah itu ditangguhkan, sekali gus membolehkan Balogun diturunkan.

Trump kemudian mengakui beliau menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi meminta keputusan kad merah itu dikaji semula.

Bagaimanapun, AS tewas 1-4 kepada Belgium dengan Balogun yang diturunkan dalam kesebelasan utama gagal memberi impak besar.

“Ia situasi yang malang dan memberi tekanan yang lebih besar kepada kami daripada apa yang sepatutnya,” kata penyerang berusia 25 tahun itu.

“Pada mulanya saya gembira kerana dapat kembali bersama pasukan, tetapi selepas memikirkannya, saya sedar ia akan mencetuskan banyak kontroversi.

“Saya juga dapat melihat sedikit kegelisahan dalam kalangan rakan sepasukan kerana perkara seperti ini sangat luar biasa.

“Semakin hampir dengan perlawanan, saya hanya cuba memberi tumpuan sepenuhnya kepada permainan. Ia memang sukar kerana terlalu banyak gangguan dari luar dan itu bukan sesuatu yang mudah dielakkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top