Aminuddin akui Linggi bukan kerusi selamat

Aminuddin akui Linggi bukan kerusi selamat


KUALA PILAH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi bukanlah merupakan kerusi selamat untuk ditandingi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Perkara itu diakui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu namun beliau menganggap ia sebagai cabaran demi memberi khidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau menjelaskan, kemenangan di kerusi itu mampu memberi peluang lebih baik buat PH secara keseluruhan dalam PRN Negeri Sembilan yang mana proses pengundian ditetapkan pada 1 Ogos ini.

“Ini bukan kerusi selamat malah ia adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan parti itu tidak pernah kalah di kerusi berkenaan dalam pilihan raya lalu.

“Tapi saya rasa ini adalah peluang untuk saya memberikan khidmat kepada penduduk di Linggi dan memastikan peluang PH terus berjaya dalam pilihan raya kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang dekat sini sebentar tadi.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri.

Aminuddin dalam pada itu turut berterima kasih kepada para pengundi DUN Sikamat yang telah memberikan sokongan kepadanya sejak memenangi kerusi tersebut pada 2008.

“Saya amat terhutang budi kepada mereka. Saya sayang mereka dan saya yakin sokongan mereka kepada PH sejak sekian lama bermula dengan Pakatan Rakyat pada 2008 sehingga hari ini.

“Mereka memberikan sokongan dan saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan kepada calon baharu, Nor Azman Mohamad,” katanya.-UTUSAN.

 



Source link

OR

Scroll to Top