Liga Super: Tiket Kedah tak laku, hanya 242 terjual lawan TFC

Liga Super: Tiket Kedah tak laku, hanya 242 terjual lawan TFC


KUALA LUMPUR – Jualan tiket perlawanan Liga Super Malaysia di antara Kedah Darul Aman (KDA) dan Terengganu yang tidak mendapat sambutan pada malam ini disifatkan sebagai membimbangkan.

Kedah melalui Facebook rasminya memaklumkan jualan dalam talian hanya terjual 242 tiket setakat pagi ini dan jumlah itu sedikit meningkat berbanding 166 tiket semalam.

Menurut Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, bola sepak negeri tersebut perlu diselamatkan dengan kadar segera dan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu pantas membantu menyelesaikan kemelut kewangan Sang Kenari.

“UMNO Kedah sedia maklum akan beberapa siri pertemuan pengurusan Kedah bersama Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

“Namun apa yang menjadi persoalan, maklum balas yang diperolehi hakikatnya hambar dan tidak meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Foto FB KDA FC.

Jelas Shaiful Hazizy, UMNO Kedah memohon agar semua pemegang taruh bola sepak Kedah seperti persatuan dan kelab-kelab penyokong bersatu hati memberi tekanan kepada Muhammad Sanusi untuk membantu pasukan utara Tanah Air itu.

Sang Kenari dijangka melalui lima lagi aksi Liga Super iaitu tiga perlawanan pada Oktober ini dan dua perlawanan pada November depan.

Muhammad Sanusi bagaimanapun berkata, sebarang bentuk bantuan perlu disalurkan menerusi KFA dan pengurusan KDA FC diminta mengadakan pertemuan dengan KFA bagi membincangkan perkara itu.

“Kerajaan negeri kena salurkan (bantuan) menerusi KFA, KFA akan tolong, kita tak boleh buat secara langsung dengan syarikat swasta (yang uruskan Kedah),” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top