Kenaikan gaji minimum ‘menekan’ PKS – Gerakan

Kenaikan gaji minimum ‘menekan’ PKS – Gerakan


KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) membantah keputusan kerajaan menerusi Belanjawan 2025 untuk menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, tindakan tersebut memberi tekanan terhadap Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang akan mengalami peningkatan kos operasi untuk membayar gaji pekerja. 

“Beban PKS akan berat jika gaji minimum dilaksanakan kerana dalam situasi sekarang, Malaysia mengimport banyak pekerja asing untuk industri yang berkeperluan.

“Seperti kita tahu, perniagaan PKS adalah sederhana dengan keuntungan perniagaan yang tidak menentu, bakat tempatan (orang Malaysia) juga ramai yang sanggup kerja di Singapura,” katanya ketika sidang media, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan menangguhkan keputusan tersebut dan melaksanakan pertimbangan daripada pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 semalam, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan berkata Kementerian Sumber Manusia akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.

Contohnya gaji permulaan juruteknik industri dan pengeluaran (RM2,290), jurutera mekanikal (RM3,380) dan profesional pekerja kandungan kreatif (RM2,985).

Dalam pada itu, Dominic  turut menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan untuk melaksanakan subsidi pendidikan bersasar tahun depan.

Jelasnya, hak pendidikan secara percuma sepatutnya diterima rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Kita memang tidak setuju subsidi untuk pendidikan ditarik oleh kerajaan terutama dalam kalangan T15. Bagi Gerakan, pendirian kita jelas bahawa  pendidikan perlu (diberikan secara) percuma untuk semua rakyat. Sebab itulah kita tidak setuju T15 kena bayar yang lain tidak perlu,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, penyasaran subsidi yang akan dilaksanakan secara berperingkat oleh kerajaan hanya membabitkan kumpulan pendapatan 15 peratus teratas.

Jelas beliau, golongan ini akan dikenakan sedikit kenaikan yuran pendidikan yang membabitkan sekolah berasrama penuh (SBP) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau bagaimanapun menegaskan, cadangan penyasaran subsidi yang akan menyaksikan sedikit kenaikan yuran ini tidak akan membabitkan kelompok B40, M40 atau T20.

Ujar Anwar, langkah tersebut dibuat berikutan pemberian subsidi sebelum ini diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga.

Sementara itu, Dominic berkata, parti itu akan terus bersuara tentang bantahan-bantahan berkenaan Belanjawan 2025 dalam masa tedekat.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top