Adidas kuasai final Piala Dunia 2026, Nike kempunan pentas terbesar

Adidas kuasai final Piala Dunia 2026, Nike kempunan pentas terbesar


New York: Gergasi pakaian sukan Adidas muncul pemenang dalam persaingan penajaan Piala Dunia 2026 apabila kedua-dua finalis, Argentina dan Sepanyol, menggunakan jenama itu, sekali gus menyaksikan Nike gagal menghantar wakil ke pentas final.

Harapan Nike berkecai selepas Argentina menewaskan England 2-1 pada aksi separuh akhir, sekali gus menamatkan peluang syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat itu untuk melihat pasukan tajaan mereka beraksi dalam final.

Kejayaan Argentina dan Sepanyol memberi kelebihan besar kepada Adidas dari sudut pendedahan jenama apabila jutaan penonton di seluruh dunia bakal menyaksikan dua pasukan tajaan mereka berentap bagi merebut gelaran juara dunia.

Sepanjang Piala Dunia kali ini, Adidas menaja 14 pasukan kebangsaan, manakala Nike menaja 12 pasukan termasuk England dan Perancis yang tewas di separuh akhir.

Kedua-dua syarikat melabur besar bagi memanfaatkan Piala Dunia sebagai platform pemasaran, namun Nike dilihat lebih memerlukan impak positif itu ketika syarikat berkenaan sedang berusaha memulihkan prestasi perniagaan.

Bulan lalu, Nike mengakui pelan pemulihan yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elliott Hill, masih berdepan cabaran besar susulan kelembapan pasaran di China walaupun mencatat keputusan kewangan suku tahunan yang lebih baik daripada jangkaan.

Harga saham Nike turut merosot hampir satu pertiga sepanjang tahun ini apabila pelabur mula hilang kesabaran terhadap proses pemulihan syarikat itu.

Penganalisis Morningstar, David Swartz berkata, walaupun Adidas memperoleh publisiti lebih besar hasil kejayaan di Piala Dunia, Nike masih perlu memberi tumpuan kepada isu lebih penting seperti inovasi produk, pengurusan inventori serta memulihkan jualan dan margin keuntungan di China.

Jurucakap Nike pula berkata syarikat itu sentiasa mahu atlet dan rakan kerjasama mereka melangkah sejauh mungkin, namun visi mereka terhadap bola sepak tidak bergantung kepada satu kejohanan semata-mata.

Sementara itu, Adidas menyifatkan kehadiran kedua-dua pasukan tajaan mereka di final sebagai detik yang membanggakan, namun enggan mendedahkan unjuran jualan produk sempena Piala Dunia.

Selain menaja pasukan kebangsaan, Nike turut melancarkan but Mercurial baharu, memperkenalkan kempen pemasaran “Rip the Script” serta menjual jersi kebangsaan yang mencatat jualan 2.5 kali ganda lebih tinggi berbanding tempoh sama ketika Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan M Science, Adidas kini berada di landasan lebih kukuh apabila bahagian pasarannya dalam segmen kasut meningkat kepada 19.2 peratus pada Jun berbanding 16 peratus setahun lalu, manakala Nike terus kehilangan pegangan pasaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top