Tiada makna membangun, jika rakyat terpinggir – Anwar

Tiada makna membangun, jika rakyat terpinggir – Anwar


KOTA KINABALU: “Apa erti pembangunan, jika rakyat di bawah tidak diberi perhatian,”.

Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa merasmikan penutupan Program Madani Rakyat (PMR) 2024 Sayangi Sabah di pekarangan Stadium Likas, hari ini.

Menurut beliau, pembangunan kecerdasan buatan (AI), semi konduktor mahupun ekonomi biru tidak bermakna sekiranya rakyat dipinggirkan.

Justeru, kata beliau, menerusi pembentangan Belanjawan 2025 semalam, kerajaan mengumumkan I-Sara dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM13 bilion, iaitu tambahan RM3 bilion pada tahun depan.

Katanya, ketika ini STR telah memberi manfaat kepada kira-kira 9 juta orang termasuk golongan M40 dan tiada rakyat yang terpinggir termasuk di Sabah.

“Kerajaan Persekutuan memberi jaminan setiap keluarga yang berpendapatan rendah akan menerima bantuan RM1,500 yang dimasukkan ke dalam akuan mereka. Di bawah kerajaan Madani, kita akan memastikan setiap rakyat menerima bantuan.

“Itu hak semua kaum tidak kira melayu Melanau, Dayak, India yang masuk dalam kategori miskin tegar atau miskin dengan pendapatan yang tidak tinggi maka, STR akan masuk akaun mereka.

“Kita bimbang kalau-kalau ada yang tercicir. Ini tanggungjawab kita untuk pastikan tiada rakyat tercicir,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengambil langkah yang sama sepertinya untuk melaksanakan program kampung angkat.

Katanya, jika di peringkat Persekutuan, beliau telah melaksanakan program kampung angkat dalam usaha membantu menyelesaikan masalah rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya minta Ketua Menteri ambil tindakan susulan dengan memilih satu kementerian satu kampung angkat dan beri perbelanjaan dan selaraskan program yang ingin dilakukan di kampung berkenaan,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top